Nasib graduan selepas tamat pengajian

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KONVOKESYEN adalah hari bahagia kepada semua graduan dan sudah menjadi lumrah buat mereka untuk mencari pekerjaan selepas bertungkus lumus menamatkan pengajian.

Namun, ia adalah suatu permulaan kepada cabaran seterusnya iaitu berjuang dalam realiti dunia sebenar yang ‘keras’.

Setiap anak muda yang baru menapak dalam dunia pekerjaan sudah tentu mengimpikan pekerjaan stabil dan tawaran gaji tinggi bersesuaian dengan ilmu dipelajari.

Hakikatnya, jumlah graduan yang menganggur juga sangat tinggi.

Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendedahkan seramai 29,000 graduan belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2022. Angka yang agak besar.

Justeru, bagi mengatasi masalah itu, KPT memperuntukkan dana sebanyak RM15 juta dengan memperkenalkan beberapa program sijil profesional khusus buat graduan yang masih menganggur di negara ini.

Sijil profesional itu penting untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, sekali gus membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Dalam dunia serba mencabar pada hari ini, graduan itu sendiri digalakkan memiliki kemahiran tambahan dan mencipta potensi diri untuk peluang masa depan lebih cerah.

Artikel Berkaitan:

Terlalu banyak institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta di negara ini, antara faktor berlakunya lambakan graduan, sekali gus mewujudkan persaingan.

Peluang pekerjaan semakin mengecil sedangkan jumlah graduan yang tamat belajar meningkat setiap tahun.

Apatah lagi, kebanyakan pusat pengajian tinggi hanya melahirkan ‘golongan pekerja’, bukannya graduan yang pandai mencipta pekerjaan.

Ambillah inisiatif misalnya menguasai ilmu perniagaan kerana dengan adanya kemahiran tambahan, mereka boleh membuka perniagaan sendiri, seterusnya membuka pula peluang pekerjaan kepada graduan lain.

Selain itu, boleh juga dikaji semula had umur untuk persaraan.

Lebih sesuai bersara pada umur 55 tahun, bukan 60 sehingga 65 tahun agar ia tidak menyekat peluang pekerjaan generasi muda.

Berilah peluang kepada mereka untuk mengambil alih dengan idea dan tenaga baharu yang lebih segar.

Pada masa sama, kita juga tidak boleh mengetepikan faktor graduan menganggur kerana terlalu memilih kerja.

Justeru, berubahlah. Jangan takut mengambil risiko dan terokailah cabaran baharu dalam mencari pekerjaan agar kita tidak ketinggalan.