Bursa Malaysia ditutup rendah bagi tiga hari berturut-turut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup rendah pada Rabu bagi tiga hari berturut-turut selepas mencatatkan kenaikan, diheret turun oleh aktiviti jualan saham wajaran tinggi dalam telekomunikasi dan perbankan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.13 peratus atau 1.95 mata kepada 1,446.07 daripada 1,448.02 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 0.61mata lebih tinggi kepada 1,448.63 sebelum bergerak di antara 1,445.61 dan 1,450.42 sepanjang sesi dagangan.

Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 588 berbanding 354, manakala 426 kaunter tidak berubah, 1,011 kaunter tidak diniagakan dan 85 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.28 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 3.81 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata, indeks penanda aras itu dipengaruhi oleh pendapatan korporat yang lebih lemah dilaporkan oleh Kumpulan Axiata pada rehat tengah hari.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan kecenderungan untuk menurun akan berlaku dalam persekitaran ketiadaan petunjuk baharu, manakala hari-hari terakhir keputusan pendapatan korporat akan menjadi tumpuan.

"Sementara itu, pelabur akan memantau dengan teliti terhadap data pembuatan China yang akan dikeluarkan pagi esok," katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Daripada segi teknikal, Kenneth berkata, FBM KLCI akan menurun kerana indeks utama kekal ke arah kecederungan aliran menurun.

"Sekiranya paras sokongan tempoh terdekat pada tahap 1,445 tidak dapat bertahan, sokongan seterusnya ditambat pada 1,430, manakala tahap paras rintangan adalah antara 1,464-1,488," katanya.

Sementara itu, seorang penganalisis lain berkata, FBM KLCI bergerak dalam julat yang ketat kerana harga minyak terus berada di bawah tekanan disebabkan pilihan minyak yang lebih murah.

"Walaupun kebanyakan syarikat mencatatkan pulangan kewangan yang lebih baik selepas pandemik, prospek ekonomi kekal suram berikutan kuasa beli berkurangan," katanya kepada Bernama.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank merosot 1.0 sen kepada RM9.04, Public Bank naik 2.0 sen kepada RM4.24, CIMB Group menguncup 4.0 sen kepada RM5.64, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare bekurangan 1.0 sen masing-masing kepada RM9.88 dan RM5.83, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.08.

Daripada saham aktif, Top Glove merosot 4.0 sen kepada 86 sen, Fitters Diversified tidak berubah pada 5.0 sen, Leform menambah setengah sen kepada 32 sen manakala Widad tidak berubah pada 47 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 23.12 mata kepada 10,699.45, Indeks FBMT 100 berkurangan 20.67 mata kepada 10,365.88, Indeks FBM Emas Shariah susut 33.18 mata kepada 10,859.75.

Indeks FBM 70 menguncup 57.65 mata kepada 14,204.52, dan Indeks FBM ACE turun 40.59 mata kepada 5,043.62.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 5.99 mata kepada 16,271.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.02 mata kepada 171.72, Indeks Tenaga menguncup 0.06 mata kepada 821.85 tetapi Indeks Perladangan naik 6.94 mata kepada 7,013.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.0 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.07 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 522.28 juta unit bernilai RM60.96 juta daripada 572.27 juta unit bernilai RM68.95 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 723.18 juta saham bernilai RM227.02 juta berbanding 781.40 juta saham bernilai RM242.71 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 315.52 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (519.95 juta); pembinaan (111.20 juta); teknologi (214.29 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (54.17 juta); hartanah (182.14 juta); perladangan (35.64 juta); REIT (15.06 juta); dana tertutup (6,000); tenaga (127.90 juta); penjagaan kesihatan (241.54 juta); telekomunikasi dan media (38.19 juta); pengangkutan dan logistik (32.25 juta); serta utiliti (110.09 juta). - Bernama