Bursa Malaysia ditutup lingkungan positif susulan pembelian saat akhir

Indeks penanda aras itu dibuka 1.73 lebih rendah pada 1,444.34 dan bergerak antara 1,440.62 dan 1,452.74 sepanjang sesi dagangan. - Foto hiasan
Indeks penanda aras itu dibuka 1.73 lebih rendah pada 1,444.34 dan bergerak antara 1,440.62 dan 1,452.74 sepanjang sesi dagangan. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia kembali pulih selepas dibuka rendah dan ditutup dalam lingkungan positif berikutan pembelian pada saat akhir saham Dialog, CelcomDigi dan Nestle, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.4 peratus atau 6.67 mata kepada 1,452.74, tertinggi intra hari, berbanding 1,446.07 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.73 lebih rendah pada 1,444.34 dan bergerak antara 1,440.62 dan 1,452.74 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, pasaran kekal negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 626 berbanding 328, manakala 419 kaunter tidak berubah, 995 tidak diniagakan dan 63 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.25 bilion unit bernilai RM4.97 bilion daripada 3.28 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, pasaran serantau ditutup kebanyakannya lebih tinggi, didorong oleh aktiviti belian pada saat akhir, dengan pelabur menjangkakan kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun depan.

Data AS terkini menunjukkan bahawa ekonomi berdaya tahan pada suku ketiga 2023 dan penurunan inflasi, meningkatkan kemungkinan Fed mungkin mempertimbangkan untuk melaksanakan pemotongan kadar faedah lebih awal daripada unjuran asal.

Sentimen seterusnya didorong oleh data ekonomi China yang kurang memberangsangkan, menunjukkan lebih banyak sokongan kerajaan diperlukan untuk membantu meningkatkan pertumbuhan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi bursa tempatan, kami menjangkakan pembelian pada harga murah akan terus dirangsang oleh penilaian indeks penanda aras yang agak rendah berbanding negara serantau disertai aliran masuk dana asing yang berterusan.

"Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalan aliran tinggi, berkemungkinan dalam lingkungan 1,450-1,460 menjelang hujung minggu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Celcomdigi naik 21 sen kepada RM4.34, Petronas Chemicals dan Dialog masing-masing menokok 14 sen kepada RM7.22 dan RM2.21, Nestle meningkat RM3.70 kepada RM125.40, Tenaga Nasional naik 11 sen kepada RM9.99 dan Public Bank menambah 3.0 sen kepada RM4.27.

Bagi kaunter paling aktif, Velesto tidak berubah pada 22 sen, Kanger susut 1.0 sen kepada 7.5 sen, Top Glove turun 5.0 sen kepada 81 sen dan Dagang Nexchange merosot 2.0 sen kepada 40 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 27.95 mata kepada 10,727.40, Indeks FBMT 100 meningkat 30.68 mata kepada 10,396.56, manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 69.61 mata kepada 10,929.36.

Indeks FBM 70 susut 32.63 mata kepada 14,171.89 tetapi Indeks FBM ACE naik 21.83 mata kepada 5,065.45.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 49.97 mata kepada 16,221.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.55 mata kepada 172.27, Indeks Tenaga mengukuh 7.25 mata kepada 829.10 dan Indeks Perladangan naik 27.90 mata kepada 7,041.41.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.68 bilion unit bernilai RM4.65 bilion daripada 2.0 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 806.07 juta unit bernilai RM99.02 juta berbanding 522.28 juta unit bernilai RM60.96 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 758.20 juta saham bernilai RM221.65 juta berbanding 723.18 juta saham bernilai RM227.02 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 381.68 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (587.15 juta); pembinaan (133.70 juta); teknologi (207.86 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (262.91 juta); hartanah (254.40 juta); perladangan (72.77 juta); REIT (15.88 juta), dana tertutup (11,000); tenaga (255.75 juta); penjagaan kesihatan (246.45 juta); telekomunikasi dan media (102.23 juta); pengangkutan dan logistik (59.41 juta); dan utiliti (102.78 juta). - Bernama