Ringgit ditutup rendah selepas kenaikan tiga hari

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah sekali gus mengakhiri kenaikan tiga hari berturut-turut pada Khamis, susulan pengambilan untung selepas mata wang tempatan mencecah paras sokongan serta-merta RM4.6611 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6590/6635 berbanding dolar AS daripada 4.6495/6550 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unit tempatan sedang bergelut untuk mengekalkan kecenderungan meningkatnya selepas menembusi paras sokongan serta-merta.

"Aktiviti pengambilan untung berlaku apabila ringgit mencecah paras sokongan serta-merta,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit terus meningkat berbanding euro kepada 5.0918/0967 daripada 5.1014/1075 ketika ditutup pada Rabu, dan naik berbanding pound British kepada 5.8941/8998 daripada 5.8951/9021.

Walau bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1601/1634 daripada 3.1513/1553 semalam.

Mata wang tempatan didagangkan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain, kecuali berbanding peso Filipina.

Artikel Berkaitan:

Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4883/4920 daripada 3.4909/4953 semalam dan kukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2335/2546 daripada 13.3484/3722.

Ringgit stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 300.3/300.8 daripada 301.9/302.5 ketika ditutup Rabu dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.39/8.41 sejak semalam. - Bernama