Runtuhan gudang: Bomba tukar strategi alihkan rasuk utama seberat 33 tan

Zulfahmi menunjukkan kerja mengalihkan rasuk utama di lokasi kejadian bagi membolehkan kerja mencari dan menyelamat dapat dijalankan.
Zulfahmi menunjukkan kerja mengalihkan rasuk utama di lokasi kejadian bagi membolehkan kerja mencari dan menyelamat dapat dijalankan.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang sedang berusaha mengalihkan rasuk utama seberat 33 tan di tapak projek pembinaan gudang bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Ts Zulfahmi Sutaji berkata, kerja pengalihan rasuk itu sedikit sukar berikutan ia akan menyebabkan pergerakan pada struktur lain berdekatan kawasan yang dikenal pasti.

Anggota bomba bersama agensi penyelamat yang lain melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan gudang yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas pada Rabu. - Foto: Bernama
Anggota bomba bersama agensi penyelamat yang lain melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan gudang yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas pada Rabu. - Foto: Bernama

Menurutnya, pasukan penyelamat telah menukar beberapa strategi bagi mengalihkan rasuk utama tersebut.

"Apabila rasuk utama itu berjaya dialihkan, pasukan penyelamat seperti Unit K9 dan SMART akan masuk ke kawasan yang dikenal pasti untuk mencari dan menyelamat mangsa yang masih belum ditemui.

"Ini kerana, radius pencarian kita tidak besar, hanya sebesar gelanggang bola tampar. Oleh itu, skop pencarian kami hanya di kawasan itu sahaja.

"Keadaan cuaca amat membantu kerana sekiranya hujan, ia akan menyukarkan kerja-kerja mengalih rasuk sekali gus menyukarkan operasi mencari mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat menjangkakan sama ada kesemua mangsa berjaya ditemui pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak tahu apa lagi halangan yang akan kami hadapi selepas ini, oleh itu, saya tidak boleh menjangkakan bahawa operasi boleh tamat pada hari ini. Selain itu, simen-simen yang runtuh semalam sudah mengeras tetapi bukan dalam keadaan yang mampat.

"Ini salah satu penyumbang kesukaran untuk mengeluarkan mangsa. Ketika ini, sudah masuk percubaan ketiga untuk kita alihkan dan tengah tetapkan untuk percubaan kali keempat. Tiang utama (rasuk) yang senget memberi risiko kepada kami (pasukan penyelamat).

"Kita tidak jangka boleh siap hari ini, memang nampak benda itu 'straight forward' tetapi bila ia melibatkan struktur konkrit runtuh, apabila kita tarik, ia akan berkaitan antara satu sama lain, tiang rasuk, lantai besi cerucuk. Semua ada berkaitan dan boleh menyebabkan struktur lain turut bergerak," katanya.

Anggota bomba terpaksa melakukan kerja-kerja menyelamat dengan berhati-hati memandangkan struktur binaan berkaitan antara satu sama lain, tiang rasuk, lantai besi cerucuk. - Foto Bernama
Anggota bomba terpaksa melakukan kerja-kerja menyelamat dengan berhati-hati memandangkan struktur binaan berkaitan antara satu sama lain, tiang rasuk, lantai besi cerucuk. - Foto Bernama

Sejak malam Selasa, bomba menggunakan dua buah kren untuk keluarkan rasuk-rasuk yang runtuh bagi mengeluarkan mangsa.

Rasuk tersebut terjatuh dari ketinggian 20 meter lalu menghempap mangsa yang sedang bekerja.

Ketika kejadian, sembilan pekerja sedang bekerja di bawah satu rasuk sepanjang 12 meter dan seberat 14 tan.

Rasuk tersebut telah terjatuh dan terkena 14 rasuk yang lain lalu menimpa mangsa-mangsa yang sedang bekerja di bawah.