Saya nak belajar jawi tapi janganlah paksa: Arun Dorasamy

Arun Dorasamy ketika bercakap pada Kongres Jawi Kebangsaan di sini hari ini.
Arun Dorasamy ketika bercakap pada Kongres Jawi Kebangsaan di sini hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - “Sebagai anak Malaysia, saya nak juga belajar jawi tetapi janganlah paksa,” kata Setiausaha Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) Nasional, Arun Dorasamy.

Menurutnya, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi perlu dibuat sebagai pilihan dan bukannya secara paksaan kepada pelajar.

Jelasnya, bahasa Melayu merupakan ‘bahasa jiwa’ semua bangsa di Malaysia namun pendekatan pelaksanaan tulisan jawi perlu diubah tata caranya.

“Jadi langkah penyelesaian terhadap isu ini, kementerian perlu akui ini bukanlah isu perkauman. Kalau sesiapa anggap ini isu perkauman, kamu belum sedia untuk buat mesyuarat lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan jawi: Persatuan Cina gesa KPM berdialog

“Kedua, tangguh dan bincanglah isu ini. Ketiga, kita berbincang bagaimana kita mahu memperkenalkan jawi di sekolah-sekolah.

“Kalau jawi merupakan warisan orang Melayu maka itu juga adalah warisan Malaysia juga,” katanya dalam ucapan pada Kongres Jawi Kebangsaan di sini hari ini.

Dalam ucapan sama, Arun Dorasamy turut mengajak Kementerian Pendidikan (KPM) berdialog dengan mereka dan menegaskan mereka sudah bersedia.

Artikel Berkaitan:

Begitupun, beliau menegaskan lima golongan perlu ada ketika dialog tersebut berlangsung iaitu wakil dari masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.

“Kita memang dah sedia. Kita akan panggil kawan-kawan Melayu untuk sertai kita bermesyuarat. Ini mesej saya kepada KPM.

“Jom kita bermesyuarat dan kali ini mesti ada lima golongan itu yang duduk semeja, minum teh kosong, makan karipap dan cuba mencari penyelesaian kepada isu ini.

“Kita sayangkan negara kita, kita sayang jawi, kita sayang bahasa Melayu. Ini bahasa saya, kamu dan setiap anak Malaysia,” katanya.