[VIDEO] Tekong darat Geng Otong dipenjara 5 tahun

A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang tekong darat kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran Geng Otong antara 2015 sehingga 2020.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhi hukuman itu selepas Mohammad Zaheer Ali, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Tekong darat Geng Otong djatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu.
Tekong darat Geng Otong djatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu.

Mahkamah menetapkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap tertuduh pada pada 4 Jun 2020.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang dikenali Geng Otong di daerah Kota Tinggi antara 1 Januari 2015 sehingga 4 Jun 2020.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faris Ab Jalil manakala tertuduh diwakili peguam Muzammil Hariri.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, pada 2 Jun 2020, satu laporan polis telah dibuat bersabit kes repot Kota Tinggi mengenai satu risikan yang dibuat ke atas satu kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Otong yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia.

Kumpulan jenayah ini diketuai oleh seorang lelaki warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Otong.

Pada 4 Jun 2020, tertuduh iaitu Mohammad Zaheer ditangkap pasukan polis kira-kira jam 6 petang di sebuah rumah di Batu 14 Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Polis merampas sebuah telefon bimbit dan hasil siasatan mendapati tertuduh terlibat secara langsung yang bertindak sebagai tekong darat kumpulan Geng Otong yang mengatur perjalanan bot berlepas dan mengarahkan ‘transporter’ untuk mengambil mana-mana PATI untuk dihantar ke transit atau rumah penampungan.