Tular video trafik tahan 'geng' motosikal

A
A
A

GOMBAK - Sebanyak 88 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan menerusi Ops Khas Motosikal di kilometer 21 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah Timur), di sini, pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 165 orang dan 145 buah motosikal dalam operasi pada jam 7 pagi itu.

'Sebanyak 88 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Operasi yang dilaksanakan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu turut menjalankan saringan air kencing terhadap tujuh lelaki, hasilnya kita menahan seorang daripadanya disyaki positif dadah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohd Azman berkata, objektif operasi itu adalah memastikan penunggang motosikal mematuhi peraturan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

"Penguatkuasaan tersebut adalah bertujuan mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cermin sisi serta aksesori tidak sempurna.

"Selain itu kita turut mengesan kesalahan lesen memandu serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tidak pamer pelekat ‘P’ atau ‘L’, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran fancy, tiada nombor pendaftaran dan lain-lain kesalahan lalu lintas," katanya.

Mohd Azman berkata, semua pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal dinasihatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain.

Artikel Berkaitan: