Penderaan seksual kanak-kanak, kes tertinggi dikendali JKM - Nancy

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang merekodkan kes tertinggi iaitu 1,603 kes sehingga Ogos lalu dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia diikuti dengan kes pengabaian terhadap kanak-kanak iaitu 1,530 kes.

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama

Menurutnya, selain itu, turut direkodkan kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak sebanyak 1,240 kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak, 614 kes faktor lain-lain, 156 kes dibuang atau tiada ibu bapa dan 73 kes penderaan emosi.

"Data yang ada pada saya sekarang ialah statistik kanak-kanak yang memerlukan perlindungan. Sama ada kanak-kanak yang kita selamatkan daripada penganiayaan, penderaan dan beberapa faktor lain bagi tahun ini.

"Kanak-kanak yang diselamatkan ini ada yang masih ditempatkan di institusi JKM dan ada yang telah ditempatkan bersama ibu bapa peliharaan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai statistik kanak-kanak didera yang memerlukan perlindungan.

Nancy menambah, terdapat kanak-kanak yang dikendalikan juga telah kembali ke pangkuan keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Ia setelah dinilai bahawa keadaan dalam keluarga mereka tidak lagi mendatangkan risiko yang memudaratkan kepada kanak-kanak tersebut," katanya.