Safiey Ilias dilepas tanpa bebas kes seksual terhadap dua remaja

Safiey Ilias
Safiey Ilias
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Usahawan kosmetik, Safiey Ilias dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan seksual terhadap dua remaja lelaki dalam siaran langsung di aplikasi Instagram, dua tahun lalu.

Hakim, Norhazani Hamzah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan agar Safiey, 29, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Semasa prosiding, Nurfadzlin berkata, permohonan itu dibuat kerana tertuduh akan didakwa semula di Pahang dan Johor Bahru.

"Ia disebabkan mangsa yang juga saksi dalam kes itu berada di dua negeri tersebut.

“Sekiranya perbicaraan dijalankan di sini, ia menyukarkan mangsa dalam kes itu untuk berulang-alik,” katanya.

Sementara itu, peguam, Harjeet Singh Sidhu yang mewakili Safiey memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan itu kerana kes berkenaan berlangsung sejak sekian lama.

Hakim kemudiannya membatalkan kes berkenaan dan memerintahkan wang jaminan Safiey dikembalikan.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan pada Rabu untuk prosiding pendengaran bantahan awal Safiey terhadap dua daripada empat pertuduhan seksual yang dihadapinya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan Safiey didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan dua remaja lelaki menerusi aplikasi Instagramnya di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 9 pagi, 9 Jun 2021.

Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu juga menghadapi dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyangkan payudara di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15(a)(i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Safiey ketika dihubungi berkata, selepas hampir tiga tahun turun naik mahkamah, dia bersyukur apabila mahkamah membebaskannya daripada semua pertuduhan itu.

"Jika dituduh semula di Pahang dan Johor, saya sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan, malah tetap akan melawan kes ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pertuduhan seksual cacat, Safiey Ilias

Perbicaraan kes seksual Safiey Ilias Julai tahun depan

Sebutan kes seksual Safiey Ilias pada 27 Oktober