Penghantar barang ditahan buat aksi tak senonoh terhadap kanak-kanak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menahan seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap kanak-kanak dalam tiga kejadian berasingan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian pada Isnin jam 6 petang, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan telah diganggu oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam lif perumahan di Presint 5, dekat sini.

Beliau berkata, lelaki tersebut yang memakai topi keledar telah mengeluarkan kemaluannya dan menunjukkan kepada mangsa.

"Empat laporan polis telah dibuat berhubung kejadian sama berlaku di kawasan perumahan tersebut.

"Jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit adalah sebanyak lima orang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ekoran kejadian itu, Asmadi berkata, pihaknya telah membuat satu tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 32 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Selasa jam 4.30 petang.

Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai penghantar barang, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun mengaku terlibat dalam kesemua tiga kes yang disiasat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek adalah negatif.

Tambah beliau, permohonan reman telah dibuat pada Rabu dan diluluskan selama empat hari sehingga Sabtu bagi siasatan lanjut.

"Kawad cam terhadap suspek daripada lima orang mangsa akan dibuat pada Khamis," ujarnya.