Pengusaha kongsi rezeki bekal ubi tonyoh kepada peniaga kecil

Nor Harlizam mengisi hidangan musim tengkujuh dikenali sebagai 'ubi tonyoh' yang dijual di kedainya di Kampung Bunut Sarang Burung, pada Selasa. - Foto Bernama
Nor Harlizam mengisi hidangan musim tengkujuh dikenali sebagai 'ubi tonyoh' yang dijual di kedainya di Kampung Bunut Sarang Burung, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Makanan tradisional di Kelantan iaitu ubi kayu tonyoh sering mendapat permintaan tinggi khususnya ketika musim tengkujuh, membuatkan seorang pengusaha di sini berkongsi rezeki dengan peniaga kecil lain.

Nor Harlizam Mamat, 39, dari Kampung Bunut Sarang Burung yang mula menjual makanan itu pada 2018 berkata, dia membekalkan hidangan itu kepada peniaga kecil di sekitar Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu yang membelinya secara pukal sebelum dijual semula kepada pelanggan di kawasan berkenaan.

Nor Harlizam (kiri) bersama adiknya, Nor Syairah menunjukkan hidangan 'ubi tonyoh' yang diperbuat daripada ubi kayu kuning di kedainya di Kampung Bunut Sarang Burung.
Nor Harlizam (kiri) bersama adiknya, Nor Syairah menunjukkan hidangan 'ubi tonyoh' yang diperbuat daripada ubi kayu kuning di kedainya di Kampung Bunut Sarang Burung.

"Setiap hari saya memproses lebih 50 kilogram (kg) ubi kayu yang menghasilkan lebih 50 bekas ubi tonyoh dan daripada jumlah itu, 35 kg akan dijual kepada peniaga kecil yang membuat tempahan. Bekalan bahan mentah saya dapat daripada penduduk setempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya pada Selasa.

Nor Harlizam berkata, kelazatan ubi kayu tonyoh yang dihasilkannya sejak 2018 itu sering laris kerana menggunakan ubi kayu kuning yang mempunyai rasa tersendiri dan asli sehingga ada peniaga dari daerah lain ingin menjualnya semula.

"Tonyoh bermaksud parut, ubi kayu kuning mentah akan diparut sebelum dikukus dan kemudian dinikmati bersama gula serta kelapa muda parut ... enak dimakan ketika masih panas.

"Ubi tonyoh memang menjadi pilihan orang sehingga ada yang datang membeli di gerai ketika hujan lebat termasuk pelanggan dari luar Tumpat," katanya yang dibantu adiknya Nor Syairah Mamat, 35.

Nor Harlizam berkata, ubi kayu tonyoh itu dijual dalam bekas plastik seberat 250 gram dengan harga RM4 sebekas. - Bernama

Artikel Berkaitan: