45 peratus paip perlu dibaiki elak gangguan air - Aminuddin

Aminuddin (tiga dari kiri) ketika Majlis Hari Ikrar Bebas Rasuah Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) 2023 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Sains 2024-2028, di sini pada Selasa.
Aminuddin (tiga dari kiri) ketika Majlis Hari Ikrar Bebas Rasuah Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) 2023 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Sains 2024-2028, di sini pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Hampir 45 peratus daripada 9,650 kilometer paip lama di Negeri Sembilan perlu diberi perhatian untuk kerja pembaikan bagi mengelakkan masalah gangguan air.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau bagaimanapun tidak menolak paip berkenaan juga perlu diganti baharu memandangkan sudah melebihi 30 tahun, namun ia memerlukan modal sangat besar dan kos tinggi.

“Agak mustahil jika mengambil kira keuntungan syarikat (syarikat air) yang hanya meraih beberapa juta ringgit sahaja berbanding kos diperlukan mencecah puluhan juta ringgit, mereka tidak mampu.

“Antara faktornya adalah tarif air yang tidak disemak berpuluh tahun, ini menyebabkan mereka tidak mampu ke hadapan (membuat pertukaran paip baharu). Isu ini bukan di sini sahaja tetapi tetapi negeri yang mempunyai keuntungan besar masih berdepan dengan masalah sama,” katanya.

Aminuddin (dua dari kiri) ketika merasmikan program tersebut pada Selasa.
Aminuddin (dua dari kiri) ketika merasmikan program tersebut pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Hari Ikrar Bebas Rasuah Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) 2023 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Sains 2024-2028, di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tarif air domestik di semua negeri akan disemak awal tahun depan selepas ada negeri tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun.

Menurutnya, semakan tersebut dijangka menyaksikan kenaikan tarif bagi menampung kos operasi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh operator yang menguruskan bekalan air di negeri-negeri terlibat.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin yang juga Pengerusi Sains berkata, rakyat perlu faham dan menerima hakikat bahawa tarif air tidak naik setelah sekian lama dan kos operasi air memerlukan peruntukan tinggi.

Sebahagian kakitangan Sains yang hadir pada program tersebut.
Sebahagian kakitangan Sains yang hadir pada program tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sains, Mohd Yazid Ahmad berkata, paip berkenaan masih boleh berfungsi namun dengan cara kawalan tekanan yang bersesuaian bagi mengelakkan kejadian paip pecah sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan.

"45 peratus adalah paip lama, ia perlu diberi perhatian...dengan adanya 'pressure management', kita dapat mengurangkan risiko paip pecah," katanya