Negeri Sembilan catat pelaburan positif

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan mencatatkan prestasi pelaburan kekal positif bagi suku kedua tahun ini membabitkan nilai sebanyak RM1.95 bilion.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia menunjukkan kenaikan sebanyak 24 peratus berbanding dengan pencapaian pada suku kedua tahun lalu iaitu RM1.48 bilion.

"Daripada jumlah prestasi pelaburan suku kedua tahun 2023 yang telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Negeri Sembilan tersebut, sebanyak RM0.38 bilion adalah daripada pelaburan asing manakala RM1.57 bilion adalah pelaburan tempatan.

"Negeri Sembilan juga mengunjurkan tambahan rekod pelaburan sebanyak RM5 bilion lagi bagi tahun 2023.ini bakal mencatatkan rekod pelaburan Negeri Sembilan pada tahun ini dianggarkan berjumlah RM7 bilion," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Aminuddin yang juga Exco Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam Negeri Sembilan berkata, selaras dengan agenda pembangunan Negeri Sembilan, pembangunan fasa pertama pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 menumpukan kepada pembangunan taman industri di Parcel A, Nilai dengan kerja-kerja tanah dan infrastruktur asas sedang giat dijalankan.

"Pembangunan Bandar Hamilton yang telah diaktifkan pada tahun 2021 dijangka siap dibangunkan pada tahun 2027 dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM900 juta.

"Selain itu, pembangunan MVV Industrial Park di Parcel B, Labu seluas 760 ekar berhampiran Techpark @ Enstek juga dalam peringkat pertimbangan kelulusan Kebenaran Merancang yang mana sekiranya direalisasikan dapat mencapai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sehingga RM2.8 bilion.

"Dalam masa yang sama, susulan daripada kejayaan XME Business Park di Nilai Impian, pihak pemaju akan meluaskan kawasan perindustrian berkenaan dengan pembangunan XME 2, 3 dan 4 melibatkan keluasan 132 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) menjangkau RM950 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, XME Business Park 2: 29.39 ekar XME 3 dan 4 seluas 103.54 ekar dalam perancangan bagi pembangunan akan datang.

"Techpark 3 @ Enstek juga telah dilancarkan dan bakal meluaskan lagi ekosistem sektor pembuatan halal di Techpark dengan keluasan 652.19 ekar," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 telah digarap dengan pendekatan pengurusan kewangan Madani berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Kewangan Madani Negeri Sembilan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 September 2023 yang lalu.

"Negeri Sembilan merupakan negeri pertama menyediakan Pelan Pengurusan Kewangan Madani di negara ini, bagi memastikan belanjawan tahunan disediakan secara mampan, saling menghormati dan ihsan.

" Fokus pada tahun ini adalah kepada 10 teras yang terkandung dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dan akan dilaksanakan secara berperingkat dan bersifat inklusif merentasi sempadan politik, geografi dan kelompok masyarakat supaya memberi manfaat kepada pelbagai golongan rakyat terutamanya golongan rentan," katanya.