Polis tetap tarikh baharu rakam keterangan Wahab - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menetapkan tarikh baharu untuk merakam keterangan Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Abdul Wahab melalui peguamnya bagi menetapkan tarikh bersesuaian.

“Kita sudah berhubung dengan Abdul Wahab melalui peguamnya untuk menetapkan satu tarikh lain bagi mengambil keterangannya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Razarudin berkata, pihaknya tiada keperluan mengeluarkan waran tangkap terhadap Abdul Wahab.

"Pegawai J-Kom itu hanya saksi penting untuk membantu siasatan berhubung kes tular rakaman video perbualan berbaur lucah yang dikaitkan bekas Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Mohammad Agus Yusoff," katanya.

Pada Isnin, wakil peguam Abdul Wahab, Faizal Abd Rahman dilaporkan berkata, anak guamnya akan memberi keterangan kepada pihak polis dalam masa terdekat.

Proses rakam keterangan ke atas Abdul Wahab pada awalnya dijadualkan berlangsung pada Sabtu lalu, namun tertangguh atas faktor kesihatan lelaki berkenaan.

Difahamkan Abdul Wahab mengalami kemurungan dan perlu sedikit masa untuk tampil beri keterangan kepada polis.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Razarudin meminta Abdul Wahab untuk tampil bagi membantu siasatan sekali gus menyelesaikan kes berkenaan dalam kadar segera.

Maklumat dan keterangan daripada Abdul Wahab amat penting bagi mengesahkan peranan 'Mr H' dalam kes berkenaan.

Sebelum ini dalam satu sidang media, Abdul Wahab mendedahkan tindakan merakam perbualan antara dirinya dan Mohammad Agus didalangi seorang individu yang dikenali sebagai Mr H.

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan bahawa pihaknya sudah merakam percakapan tiga individu dalam kes berkenaan iaitu Mohammad Agus, individu yang dikatakan Mr H dan pekerja hotel di lokasi sidang media diadakan.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.