Wahab belum tampil, telefon dimatikan - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani masih belum tampil biarpun sudah lebih seminggu siasatan pihak polis berhubung kes tular rakaman video perbualan berbaur lucah yang dikaitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggunakan pelbagai cara dalam usaha mengesan Abdul Wahab.

"Meskipun sudah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, namun sehingga setakat ini, Abdul Wahab masih belum tampil.

"Kita telah menggunakan pelbagai cara termasuk menghubunginya, namun telefon bimbit miliknya dimatikan," katanya.

Razarudin berkata, tindakan polis mengesan Abdul Wahab melalui peguamnya juga menemui jalan buntu selepas lelaki berusia 33 tahun itu turut tidak menjawab panggilan.

"Justeru, saya meminta kepada Abdul Wahab untuk segera tampil bagi membantu siasatan sekali gus menyelesaikan kes berkenaan dalam kadar segera.

"Maklumat dan keterangan daripada Abdul Wahab amat penting sekali gus dapat mengesahkan peranan Mr H dalam kes berkenaan," katanya.

Sebelum ini dalam satu sidang media, Abdul Wahab mendedahkan tindakan merakam perbualan antara dirinya dan Mohammad Agus didalangi seorang individu yang dikenali sebagai Mr H.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan bahawa pihaknya sudah merakam percakapan tiga individu dalam kes berkenaan iaitu Mohammad Agus, individu yang dikatakan Mr H dan pekerja hotel di lokasi sidang media diadakan.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.