Wahab alami kemurungan, perlu masa beri keterangan - Peguam

Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani
Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani dilaporkan mengalami kemurungan dan perlu sedikit masa untuk tampil beri keterangan kepada polis.

Wakil peguam, Faizal Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa memberi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung video perbualan berbaur lucah yang dikaitkan dengan kedua-dua anak guamnya termasuk bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

"Anak guam saya kini sedang mendapatkan rawatan dan keadaan ini menyebabkan beliau terpaksa menjadualkan semula pertemuannya dengan polis untuk memberikan keterangan.

“Saya sentiasa berhubung dgn pihak PDRM. Jadi, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain semalam (mengenai Wahab) ada sedikit salah faham.

“Bukit Aman ada menghubungi saya pada pagi tadi. Saya juga telah menyatakan bahawa akan memberikan komitmen untuk Wahab beri keterangan dalam masa terdekat," katanya pada Isnin.

Jelasnya, buat masa ini Wahab mengalami kemurungan dan Bukit Aman setuju untuk beri beliau masa.

Semalam media melaporkan Razarudin berkata, tindakan memanggil Abdul Wahab untuk membantu siasatan sudah dilakukan namun sehingga masih tiada maklum balas daripadanya.

Artikel Berkaitan: