Penduduk sifatkan banjir di Bukit Tinggi terburuk dalam tempoh dua tahun

Kakitangan Roadcare menutup Jalan Genting Sempah yang rosak akibat kejadian banjir puing yang berlaku malam semalam. - Foto Bernama
Kakitangan Roadcare menutup Jalan Genting Sempah yang rosak akibat kejadian banjir puing yang berlaku malam semalam. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Kejadian banjir di Kampung Bukit Tinggi di sini, semalam disifatkan penduduk sebagai yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh dua tahun ini.

Menceritakan detik cemas itu, Wong Chee Siang, 30-an, berkata, banjir yang merupakan kali ketiga terjadi dalam tempoh berkenaan, menghanyutkan banyak barang perniagaan ayahnya selepas tembok restoran mereka runtuh akibat bencana tersebut.

"Pertama kali berlaku banjir pada tahun lepas, manakala kejadian kedua pada tahun ini dan kali ini yang ketiga. Hujan lebat pada kira-kira jam 7 malam menyebabkan air mula naik dua jam kemudian dan berakhir pada jam 11 malam.

"Saya kerugian lebih RM10,000 termasuk dua peti sejuk dihanyutkan arus deras. Nasib baik kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Chee Siang berkata, kejadian yang menimpa keluarganya dan penduduk setempat mendapat perhatian Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang hadir membuat lawatan di kawasan banjir.

Sementara itu, tinjauan mendapati kawasan banjir yang melibatkan sebahagian Kampung Bukit Tinggi telah dibersihkan oleh pihak berkuasa dengan dibantu anggota bomba sukarela Perting, Bentong dan orang awam.

Selain itu, jalan utama ke Janda Baik melalui Kampung Bukit Tinggi ditutup sementara berikutan jalan rosak akibat banjir, namun orang ramai masih boleh ke Janda Baik menggunakan jalan alternatif.

Jalan Persekutuan FT68 iaitu Jalan Lama Gombak-Bentong bagi Seksyen 43.00 ke 43.40 dan Jalan Pintasan Bukit Tinggi Seksyen 1.98 hingga 2.58 di sini, ditutup kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga 1 Disember ekoran kerosakan struktur jalan.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Kerja Raya Daerah Bentong menerusi kenyataan dimuat naik di laman sosial memaklumkan penutupan jalan berhampiran simpang tiga Janda Baik itu dibuat bagi menjamin keselamatan pengguna.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang ingin ke Janda Baik boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur Karak ke Persimpangan Bukit Tinggi menuju ke stesen minyak BHP Bukit Tinggi dan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi.

Hari ini, Nik Nazmi dilapor berkata, satu siasatan segera akan dilaksanakan untuk mengenal pasti punca banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong semalam berikutan terdapat dakwaan wujud penerokaan haram di sekitar kawasan hutan simpan. - Bernama