Adam Radlan didakwa guna hasil haram RM500,000

Adam Radlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas satu pertuduhan menggunakan wang aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Adam Radlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas satu pertuduhan menggunakan wang aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas satu pertuduhan menggunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu.

Adam Radlan, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan terbabit didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 2 Disember 2021 hingga 22 Februari 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan mahkamah mengguna pakai jaminan yang diberikan mahkamah kepada tertuduh sebelum ini, iaitu bagi pertuduhan kes rasuah, sebanyak RM420,000 dengan seorang penjamin.

“Mahkamah terdahulu menetapkan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri Ibu Pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Putrajaya setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga mohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Suzana Hussin, untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan rasuah itu,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, tidak membantah cadangan terbabit.

Rozina kemudian membenarkan jaminan sama diguna pakai atas kes lain dihadapi Adam Radlan di Mahkamah Sesyen berasingan sebelum ini iaitu jaminan RM420,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri ibu pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokan hari, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari, dia dituduh atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!