Adam Radlan akan didakwa lagi kes AMLA

Adam Radlan
Adam Radlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan didakwa lagi atas beberapa pertuduhan kes pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan demikian ketika prosiding di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, semasa sebutan lima kes rasuah membabitkan Projek Jana Wibawa pada Selasa.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi Mohd Fadhly berkata, pendakwaan akan mengemukakan pertuduhan baharu terhadap ahli perniagaan ini mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan mahu memindahkan semua kes yang dihadapi oleh tertuduh ke Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

“Bagaimanapun, ada perkembangan baharu iaitu pada 25 Oktober lalu, tertuduh telah didakwa atas satu tuduhan di bawah AMLATFPUAA,” katanya yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya memohon tarikh sebutan lain untuk memindahkan kes (bagi tujuan dibicarakan bersama) selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selesai.

Azura kemudiannya menetapkan pada 28 November depan untuk tarikh sebutan.

Perkara sama turut dimaklumkan Farah Yasmin di hadapan Suzana dan meminta tarikh sebutan sama.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding itu, peguam, Wee Yeong Kang hadir bagi pihak Adam Radlan.

Pada 21 Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pada 22 Februari pula, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Pada 28 Februari, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia di sebuah restoran di Damansara, Januari tahun lalu.

Pada 25 Oktober pula, dia dituduh atas satu pertuduhan menggunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 bermula 2021 lalu.