China mula perbicaraan pampasan mangsa MH370

Antara waris mangsa penumpang pesawat MH370 berhimpun di hadapan Mahkamah Rakyat Beijing pada Isnin. - AFP
Antara waris mangsa penumpang pesawat MH370 berhimpun di hadapan Mahkamah Rakyat Beijing pada Isnin. - AFP
A
A
A

BEIJING - Sebuah mahkamah di Beijing, China pada Isnin memulakan perbicaraan tuntutan pampasan bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang hampir 10 tahun lalu.

Menurut penyiar CCTV, lebih 40 ahli keluarga tampil di Mahkamah Rakyat Beijing di daerah Chaoyang.

Kesemua plaintif memfailkan saman terhadap Malaysian Airlines, pengeluar pesawat (Boeing), syarikat pengeluar enjin (Rolls Royce) dan syarikat insurans (Allianz).

Jiang Hui, anak kepada penumpang bernama Jiang Cuiyun menuntut ganti rugi, permohonan maaf rasmi dan pengekalan bantuan psikologi kepada ahli keluarga, serta penubuhan dana untuk meneruskan pencarian pesawat.

"Hampir sepuluh tahun, anggota keluarga (yang enggan menerima tawaran penyelesaian) tidak menerima sebarang permohonan maaf atau sesen pun ganti rugi," kata Hui.

China Daily yang dikendalikan kerajaan melaporkan bahawa perbicaraan dijangka berterusan sehingga pertengahan Disember ini.

Perbicaraan itu bagaimanapun tidak disenaraikan di laman sesawang awam mahkamah.

Pada 8 Mac 2014, seramai 239 penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang sejurus selepas berlepas.

Artikel Berkaitan:

Lebih 150 penumpang di atas kapal adalah warga China.

Sehingga kini, tidak jelas siapa yang bertanggungjawab dan mengapa hubungan dengan pesawat itu terputus.

Malah, lokasi khusus pesawat itu juga tidak jelas dan masih menjadi misteri. - Agensi