Lantik ahli keluarga sebagai calon lumrah politik - Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

ALOR SETAR - Penglibatan ahli keluarga sebagai calon dalam pilihan raya disifatkan sebagai kelaziman dan situasi itu berlaku kepada semua parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu sudah lama berdepan tuduhan mengamalkan nepotisme sejak 1999 lagi.

Menurutnya, ia bukan tuduhan baharu yang dilemparkan dan parti tidak mempunyai halangan mengangkat ahli keluarga sebagai calon asalkan mereka berpotensi untuk menang dan mahu berjuang bersama parti.

"Dalam politik negara, hal seperti itu sudah dianggap satu kelaziman, semua parti ada. Dalam UMNO ada, PKR, Pas termasuk Bersatu pun semuanya ada kaitan ahli keluarga, itu lumrah.

"Apabila isteri dan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai calon pilihan raya, itulah tuduhan dilemparkan. Ketika Anwar dipenjara, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah dicalonkan, namun rakyat yang buat pilihan. Letaklah saudara-mara mana pun, kalau rakyat tolak, tolak juga," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah pada Selasa.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusof.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas tindakan mencalonkan Mohammed Firdaus Johari yang juga anak kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

Menteri Dalam Negeri itu tegaskan, amat merugikan sekiranya individu berkelayakan dalam PH dipinggirkan semata-mata disebabkan mempunyai pertalian keluarga.

“Kalau tidak meletakkan calon yang baik seperti Mohammed Firdaus di kerusi yang dianggap boleh menang kepada parti, rugilah.

"Johari mempunyai beberapa anak yang bagus, tujuh orang doktor dan beberapa hufaz, orang macam itu kalau tawarkan diri jadi calon pasti rakyat akan pilih,” katanya.

Menurutnya, apa jua pilihan rakyat, PKR bersedia berdepan serangan peribadi dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi dalam membuat pilihan.

Pada PRU15 lalu, seorang lagi anak kepada Johari, Mohammed Taufiq menjadi satu-satunya ahli Parlimen dari PH memenangi kerusi di Sungai Petani, yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 14 daripada keseluruhan 15 kerusi Parlimen di negeri ini.