KDN perkenal lima inisiatif Pelan Liberalisasi Visa

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Lima inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 1 Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan liberalisasi visa itu adalah bertujuan untuk menjana hasil pendapatan negara.

"Pelaksanaan pelan liberalisasi visa ini akan dikaji semula selepas satu tahun untuk menilai pulangan pelaburan (ROI) kepada negara, keberkesanan inisiatif dan penilaian risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yang diberikan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, sekiranya berlaku insiden atau kejadian di luar jangkaan, pelan itu akan disemak semula untuk ditambah baik sebagai persediaan menjelang tahun 2025 dan 2026.

"Pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah satu daripada pelan tersebut," katanya.

Beliau berkata, di bawah pelan itu, inisiatif kemudahan 'Multiple Entry Visa' (MEV) diberikan sehingga 30 hari kepada semua pelancong yang ingin masuk ke Malaysia.

"Pas Lawatan Sosial jangka panjang juga diberikan dengan keberadaan sehingga 12 bulan untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian di Malaysia bagi tujuan menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan dalam sektor pekerjaan yang dibenarkan mengikut undang-undang di dalam negara," katanya.

Jelas Saifuddin, pas itu dibuka kepada kepada 23 warganegara yang berisiko rendah dan berpendapatan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan rakyat Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kanada, Switzerland, Belanda, Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberikan visa transit umrah bagi tempoh tujuh hari melalui agensi pengendali umrah yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Tempoh sah laku visa dipanjangkan daripada tiga kepada enam bulan dan tempoh kelayakan Pas Lawatan Sosial diselaraskan kepada minimum 30 hari bagi semua negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia," katanya.

Tambah Saifuddin pelaksanaan pelan itu diperkukuh melalui langkah kawalan dan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi penguat kuasa.

"Melalui aspek kawalan dan penguatkuasaan yang dipergiatkan, negara boleh menghindar dari berlakunya isu-isu seperti

kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI)," katanya.

Justeru beliau berkata, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia terjamin dengan mengekalkan pelaksanaan tapisan awal keselamatan kepada semua pengembara ke Malaysia terutama yang mempunyai rekod jenayah atau risiko keganasan.

Menurutnya, satu pasukan khas Imigresen akan diwujudkan bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India.

"Pemantauan akan dilaksanakan pada tarikh akhir iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara.

"Seterusnya pemantauan tersebut akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan dan penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata, prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) dikekalkan dan tidak dikompromi.

"Selain itu, syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk menyemak dan memastikan pelancong yang masuk ke Malaysia mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel yang disahkan sepanjang keberadaan di Malaysia," katanya.

Pada Ahad, Anwar mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, India mulai 1 Disember ini tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara berkenaan yang berhasrat memasuki Malaysia.

Ketika ini negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga dinikmati lapan negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.