Zuraida mohon maaf kepada Saifuddin Nasution

Zuraida (kiri) membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Saifuddin Nasution di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa.
Zuraida (kiri) membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Saifuddin Nasution di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Zuraida, 65, membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim, Norakhmar Mohd Sani berhubung kenyataan fitnahnya terhadap Saifuddin Nasution, 60, yang didakwa mengamalkan penipuan dan rasuah jutaan ringgit menyertai Pas atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Zuraida selaku defendan berkata, pihaknya dan Saifuddin Nasution selaku plaintif, bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di mahkamah.

“Saya memohon maaf kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution dan menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut,” kata Zuraida yang juga Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN).

Mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak serta melapangkan tarikh perbicaraan selama tiga hari, bermula Selasa.

Semasa prosiding, peguam, Navpreet Singh mewakili Saifuddin Nasution memohon anak guamnya dikecualikan kehadirannya.

Menurutnya, plaintif dan defendan telah mencapai penyelesaian melalui penghakiman persetujuan, maka mahkamah sebelum ini menetapkan Selasa untuk merekodkan terma-terma persetujuan tersebut.

“Defendan telah menarik balik kenyataan fitnah dan bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf secara lisan.

Artikel Berkaitan:

“Susulan itu, anak guam saya menarik balik writ saman, pernyataan tuntutan dan jawapan kepada pembelaan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Nizamuddin Hamid mewakili Zuraida, mengesahkan perkara itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Zuraida menyatakan kesyukuran di atas penyelesaian kes secara baik.

Pada 21 Julai 2020, Saifuddin Nasution memfailkan saman terhadap Zuraida kerana mengeluarkan kenyataan fitnah di majlis makan malam bertema ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ yang berlangsung serentak dengan hari terakhir Kongres Kebangsaan PKR kali ke-14 di Melaka.

Menteri Dalam Negeri itu mendakwa Zuraida membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud antaranya beliau (Saifuddin Nasution) mengamalkan penipuan dan rasuah kerana beliau menerima suapan berjuta-juta ringgit untuk menyertai Pas atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Beliau mendakwa, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berniat jahat untuk memburukkan kewibawaan serta imej plaintif sebagai seorang ahli politik, kakitangan awam di kaca mata masyarakat umum, anggota PKR dan penyokong PH.