'Saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia, bangsa Melayu' - Makcik Kemboja

Mariyah (tengah) membuat permohonan maaf secara terbuka dalam sidang media pada Isnin.
Mariyah (tengah) membuat permohonan maaf secara terbuka dalam sidang media pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Saya Mariyah Yusof bagi diri saya sendiri dan pihak syarikat (Mariyah Holdings Sdn. Bhd), memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh bangsa Melayu atas kekhilafan saya dan keterlanjuran kata-kata saya."

Itu reaksi daripada usahawan dan pempengaruh media sosial, Mariyah Yaacob atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Makcik Kemboja,’ 49, susulan video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini yang mendakwa orang Melayu sebagai pemalas hingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurut wanita tersebut, pada ketika itu dia langsung tidak berniat untuk menghina sesiapa atau mana-mana bangsa dan malah hanya bertujuan untuk menyuntik motivasi kepada orang ramai.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga Johor, tujuan sidang media ini diadakan adalah sebagai tanda permohonan maaf terbuka bagi saya Mariyah Yaakob dan pihak syarikat (Mariyah Holdings Sdn. Bhd).

“Saya nak minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu serta warga Kemboja yang terguris dengan kata-kata saya. Tapi, jauh di sudut hati saya, tak ada sedikit pun mahu menghina mana-mana bangsa. Sebaliknya, ia 100 peratus motivasi.

“Kita semua ada khilaf. Hari ni saya, kita tak tahu bila khilaf orang lain. Saya mengaku apa yang berlaku adalah ilmu yang sangat berharga dan saya belajar untuk jadi lebih matang dan berhati-hati,” katanya.

Mariyah (kiri), bersama anaknya, Ezuan Hafsham pada sidang akhbar berkenaan.
Mariyah (kiri), bersama anaknya, Ezuan Hafsham pada sidang akhbar berkenaan.

Mariyah berkata demikian pada sidang akhbar di kilang Mariyah Holdings Sdn. Bhd di Skudai, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, anaknya yang juga merupakan Pengarah Urusan Mariyah Holdings, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 32; pengurus besar yang juga pengarah urusan syarikat, Nor Ashiqin Jamaludin, 50, dan peguam syarikat, Sharifuddin Liwan.

Sementara itu, pada sidang akhbar berkenaan juga, Ezuan Hafsham turut membuat permohonan maaf secara terbuka khususnya berhubung isu video tular yang mengaitkan dirinya dengan isu berkenaan.

Katanya, video itu sebenarnya ditujukan kepada bekas pekerja syarikat berkenaan dan bukanya kepada rakyat di negara ini.

“Video yang dimuat naik oleh saya itu adalah perbalahan saya dengan bekas pekerja telah menimbulkan lebih banyak spekulasi dan lebih banyak fitnah.

“Jadi, saya dengan rendah hati dan terbuka saya, memohon ampun maaf kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya bangsa Melayu. Saya mohon maaf banyak-banyak,” katanya.