Kenyataan 'Makcik Kemboja' diharap tidak berulang

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil dari kiri: Maslina, Muhammad Gadafi, dan Mohd Hasrul
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil dari kiri: Maslina, Muhammad Gadafi, dan Mohd Hasrul
A
A
A

KOTA TINGGI - Orang ramai berharap agar kenyataan seorang ahli perniagaan berasal dari Kemboja yang melabel orang Melayu sebagai pemalas baru-baru ini, diharap tidak berulang lagi kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan atau suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati orang ramai memberikan pelbagai respons berhubung perkara berkenaan dan berharap agar perkara-perkara seumpamanya tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Bagi peniaga, Maslina Mohsin, 37, berkata, perkara itu boleh dielakkan sekiranya seseorang itu berfikir panjang sebelum membuat sebarang kenyataan.

Bagaimanapun katanya, perkara-perkara tersebut hanya tidak diberikan perhatian hingga akhirnya kenyataan yang dikeluarkan menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan netizen.

"Kita separutnya kena sentiasa sedar diri... sebelum nak cakap kena fikir panjang dulu, apa risiko kalau kita cakap.

"Selain itu, kita kena ingat, bila-bila masa ALLAH SWT boleh tarik nikmat, kekayaan yang kita miliki," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Seorang kakitangan swasta, Muhammad Gadafi Khalid, 43, pula berkata, insiden sedemikian sebenarnya sudah lama berlaku, namun ia hanya diperkatakan dalam kalangan rakan-rakan karib dan ia lebih kepada gurauan semata-mata.

Bagaimanapun katanya, kali ini perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dan ditujukan khas kepada pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Saya ramai kawan-kawan termasuk daripada bangsa Kemboja ni yang bekerja satu kilang.

"Tapi kami tak ambil port (kisah), apa yang dicakapkan... tetapi kali ini memang berbeza sebab apa yang dicakapkan ditujukan kepada pihak tertentu.

"Tapi kali ni, nampak jelas apa dia cakap, jadi jangan riak sangat sebab perkara ini dah kira isu perkauman," katanya.

Sementara itu, Mohd Hasrul Abu Bakar, 37, menyifatkan masyarakat di negara ini tidak ada masalah dan boleh menerima warga luar dan buktinya boleh dilihat dengan wujudnya premis-premis perniagaan yang diusahakan mereka (warga luar).

Begitupun katanya, sikap serta tingkah laku yang boleh dilabel sebagai 'kurang ajar' membuatkan rakyat negara ini 'hilang sabar' dengan mereka.

"Nak buat bisnes buat lah, tapi jangan buat netizen marah... jangan libatkan perkauman dan perlu jaga sensitiviti.

"Jangan kurang ajar sebab sabar kita pun ada hadnya," ujarnya.