Selangor lakar kemampuan lebih awal

Projek IDRISS di Sepang dan Kuala Langat bakal membuka hab pelaburan dan kawasan perindustrian baharu di Selangor.
Projek IDRISS di Sepang dan Kuala Langat bakal membuka hab pelaburan dan kawasan perindustrian baharu di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Rekod gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menterjemahkan lima tekad dalam tempoh 100 hari menjadi ukuran buat rakyat menilai kemampuan gabungan parti itu memimpin Selangor.

Namun belum pun genap 100 hari kerajaan negeri, Selangor telah membuktikan tekad tersebut bukan perkara sukar untuk dipenuhi malah berjaya dilaksanakan pada hari ke-76 iaitu 7 November lalu seperti dilaporkan media sebelum ini.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan E-Baucar Buku Selangor iaitu tekad kelima kepada 1,000 mahasiswa di sembilan institut pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini pada hari tersebut.

Amirudin Shari
Amirudin Shari

Pemberian baucar buku bernilai RM200 merupakan perkara terakhir daripada lima tawaran yang dijanjikan dalam manifesto Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor.

Menteri Besar berkata, objektif utama inisiatif pemberian baucar buku dilaksanakan adalah untuk meneruskan aspirasi pembinaan sahsiah dan keilmuan mahasiswa melalui pembacaan.

Ujarnya, bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa golongan bersasar dan asnaf untuk membeli bahan bacaan pengajian sekali gus memupuk minat mahasiswa untuk membaca buku-buku ilmiah.

Kerajaan negeri sebelum ini telah melaksanakan empat tawaran iaitu insentif Mama Kerja berjumlah RM1,000, pengecualian cukai pintu, kenaikan elaun imam, bilal dan siak serta insentif pertanian sebanyak RM1,000.

Artikel Berkaitan:

Namun demikian masih banyak usaha yang perlu dilakukan kerajaan Selangor dalam tempoh sehingga berakhir penggal dan pelaksanaan program dalam manifesto Tawaran Kita Selangor.

Bagaimanapun kenaikan elaun imam, bilal dan siak yang telah dilaksanakan wajar diberikan pujian apabila ia membuktikan kerajaan Selangor memandang serius terhadap syariat Islam menerusi pendidikan dengan menaikkan insentif kepada pegawai-pegawai masjid bagi meningkatkan penyebaran ilmu agama kepada kariah masjid.

Ini memberi isyarat bahawa golongan nazir masjid seperti nazir, imam, bilal, siak merupakan golongan ilmuwan Islam yang dapat meningkatkan syiar Islam di negeri tersebut di samping dapat meneruskan pendidikan agama kepada masyarakat.

Agih kekayaan negeri

Dari segi keharmonian dan pemuafakatan masyarakat pula, kerajaan Selangor dilihat meneruskan polisi-polisi yang dapat menyemarakkan pemuafakatan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Prinsip keadilan dan keharmonian menjadi kunci komunikasi pentadbiran kerajaan negeri sehingga tiada kaum terkecuali daripada agenda kebajikan serta pembangunan negeri.

Hasil kekayaan negeri juga diagih semula kepada rakyat melalui inisiatif merangkumi segenap lapisan dari bayi hingga warga emas antaranya pemberian air, vaksin dan insurans percuma.

Hasil negeri meningkat

Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilancar tahun lalu bagi merangka pembangunan negeri menerima komitmen pelaburan sebanyak RM29.1 bilion sehingga kini.

Amirudin berkata, jumlah itu melibatkan beberapa projek mega antaranya Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG).

“Kalau saya ringkaskan sebahagian daripadanya sektor pembuatan iaitu Taman Industri Pintar (NCT) di IDRISS. Ada juga sektor perkhidmatan seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau atau pusat data di Petaling Jaya dengan nilai RM3 bilion.

Amirudin (tengah) pada Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai lalu.
Amirudin (tengah) pada Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai lalu.

“Projek pertanian di SABDA libatkan lebih RM60 juta. Ini adalah sektor tumpuan yang ada dalam tawaran setakat ini. Taman aero belum ada komitmen sebab kita sedang bincang hal tanah,” katanya.

RS-1 merupakan inisiatif negeri bagi menggerak dan mengembangkan ekonomi melalui 262 projek spesifik yang mempunyai fungsi bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga mencapai keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dengan pengukuhan sosioekonomi rakyat yang berpegang kepada tekad pembangunan mampan.

Ekonomi lebih baik

Sudah tentu sukar melihat prestasi ekonomi keseluruhan dalam tempoh 100 hari tetapi rakyat Selangor boleh merujuk kepada pola dan beberapa indikator makro yang menunjukkan negeri itu berada di dalam landasan yang betul untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi.

Sebagai contoh, Selangor kekal sebagai negeri penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tertinggi iaitu menghampiri 25 peratus (24.8 peratus pada tahun 2022).

Selain itu, hasil pendapatan kerajaan Selangor turut meningkat pada tahun 2022 iaitu sekitar RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada tahun 2021.

Ia bermakna, setakat ini kerajaan Selangor mampu dalam menunaikan janji pilihan raya dan berprestasi tinggi untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih baik dengan sasaran 4.4 peratus pertumbuhan KDNK bagi tahun ini.