Lima tekad pastikan kemakmuran Selangor

A
A
A

Amirudin (depan, dua dari kiri) bergambar bersama pimpinan PH Selangor dan calon-calon Perpaduan Selangor yang akan bertanding pada PRN 12 Ogos ini. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Amirudin (depan, dua dari kiri) bergambar bersama pimpinan PH Selangor dan calon-calon Perpaduan Selangor yang akan bertanding pada PRN 12 Ogos ini. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SHAH ALAM – Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) Selangor melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor kepada rakyat negeri itu sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Tawaran dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari itu melibatkan lima tekad yang mempunyai 53 program untuk semua lapisan rakyat.

Amirudin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, program yang direncana dan akan dilaksanakan itu adalah untuk kestabilan serta kemakmuran Selangor menerusi tekad kerajaan negeri untuk lima tahun kegemilangan negeri itu.

Katanya, ia bukan janji populis atau 'janji-janji setinggi langit mencapai bulan' yang tidak boleh dilakukan dan akan segera dilaksanakan di Selangor dengan mandat rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Ini lima tekad kita untuk rakyat Selangor untuk lima tahun akan datang. Ini adalah janji dari seluruh calon PH-BN Selangor dan seluruh pasukan kita untuk membawa Selangor sebagai negeri stabil, maju, aman, harmoni dan menjadi juara di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau yang juga calon Sungai Tua berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor dan sesi pengenalan calon-calon Perpaduan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

AMIRUDIN
AMIRUDIN

Berikut senarai Lima Tekad, 53 tawaran yang dilancarkan.

Tekad 1: Ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dengan 14 tawaran:

- Memfokuskan usaha pembangunan ekonomi kepada industri pertanian moden, aeroangkasa, rel dan bas elektrik, perkhidmatan 5G, robotik dan automasi, kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharu serta e-sports.

- Menawarkan 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada orang muda Selangor dengan menarik pelaburan tempatan dan luar negara.

- Bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Pelabuhan Klang agar Selangor menjadi destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara.

- Mewujudkan tiga perbandaran baharu di Sepang, Sabak Bernam dan sepanjang jajaran Sungai Klang diterajui oleh PKNS, MBI dan sektor swasta dilengkapi dengan perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor.

- Mewujudkan lebih Taman Pelaburan Mampan ke arah menjadikan Selangor negeri neutral-karbon dan meningkatkan komitmen kepada piawai ESG.

- Melengkapkan keterhubungan 5G supaya Selangor menjadi negeri 5G tercekap di Asia Tenggara.

- Mewujudkan Jajaran Kita Selangor yang menghubungkan perkhidmatan rel di Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam dan menghubungkan jajaran rel di KLIA ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek agar Wilayah Pantai Barat Selangor menjadi Koridor Perkhidmatan Rel.

- Menawarkan latihan TVET bagi 10,000 orang muda Selangor dengan kerjasama bersama syarikat teknologi tinggi seperti Apple, Siemens, Festo, dan Dassault Systemes.

- Meluaskan skop peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dengan sasaran 200 ribu peserta.

- Menawarkan kelas pembelajaran bahasa percuma seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Jepun dan Korea.

- Bantuan Mahasiswa Kita Selangor berjumlah RM1,500 kepada setiap mahasiswa, menawarkan peluang latihan industri (internship) dengan bayaran RM1,500 sebulan bagi 2,000 orang muda Selangor, dan

- Merangsang kemahiran kreatif generasi muda dan belia dengan mewujudkan Geran Digital Kita Selangor mensasarkan 10,000 Duta Kreatif Kita Selangor dengan peruntukan RM5 juta.

Tekad 2: Agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor dengan tawaran:

- Subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama untuk menyempurnakan perjalanan ke Baitullah.

- Mewujudkan Biasiswa Al-Ghazali bagi pelajar tahfiz dan sekolah pondok dan sekolah agama rakyat supaya dapat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

- Memudah cara pendaftaran Sekolah-sekolah Menengah Agama Islam supaya menjadi lebih selamat dan kondusif untuk pelajar.

Amirudin ketika menghadiri Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor dan sesi pengenalan calon-calon Perpaduan Selangor pada Isnin.- FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Amirudin ketika menghadiri Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor dan sesi pengenalan calon-calon Perpaduan Selangor pada Isnin.- FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

- Mewujudkan peruntukan dan sumbangan khas Sekolah Agama dan KAFA supaya kualiti infrastruktur dapat dipertingkatkan.

- Meningkatkan elaun imam, bilal, siak dan nazir masjid secara berperingkat dengan elaun imam akan dinaikkan kepada RM1,600, bilal (RM700), siak (RM500) dan nazir (RM500).

- Mewujudkan sekretariat khas bagi menyelia dan membantu usahawan IKS bagi pendaftaran sijil halal.

- Meluaskan kelas-kelas dan syarahan pengajian Kitab Turath di setiap daerah di Selangor.

- Meningkatkan Dana Guaman Syariah untuk membantu golongan wanita yang memerlukan dengan dana tambahan RM3 juta.

- Meningkatkan peruntukan bagi komuniti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao agar tahap infrastruktur rumah ibadat dapat dipertingkatkan.

Tekad 3: Perkhidmatan kerajaan yang cekap dan efisien dengan lima tawaran:

- Mewujudkan pentadbiran Greater Klang Valley yang melibatkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai model pentadbiran baharu yang mampan dan berteknologi tinggi.

- Membantu setiap perniagaan di Selangor untuk beralih sepenuhnya kepada sistem digital.

- Menghubungkan Pusat Kawalan Kerajaan Negeri dengan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) agar meningkatkan perkhidmatan dan lebih responsif.

- Penubuhan OSC (One Stop Center) Khas di setiap PBT bagi menyelesaikan isu-isu kritikal berkaitan perkhidmatan PBT dalam tempoh 24 jam.

Tekad 4: Pembangunan mampan, selesa dan berdaya huni dengan tawaran:

- Menawarkan Kediaman Kita Selangor berjumlah 200,000 unit lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta fasiliti selesa berharga RM250,000 ke bawah bagi warga Selangor serta pembiayaan kewangan dengan institusi perbankan.

- Mengurangkan kesesakan trafik di Selangor terutamanya di jalan negeri dan PBT melalui koordinasi dengan agensi Persekutuan serta menggunakan sistem pengurusan trafik yang diamalkan di Korea Selatan, Singapura dan lain-lain.

- Meluaskan penggunaan bas mini dan van melalui Selangor Mobility ke setiap daerah bagi mengurangkan kebergantungan kepada kereta.

- Membina sebuah Pusat Rekreasi Kita Selangor di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan riadah dan rekreasi.

- Melengkapkan panel solar di setiap bangunan kerajaan negeri dan PBT dan memudahcara pemasangan solar di kawasan perumahan supaya menjimatkan dan mengurangkan kos tenaga.

- Menawarkan sistem pengasingan sisa di kawasan perumahan dan meningkatkan sistem kitar semula.

- Meningkatkan daya tahan taman awam sebagai dwi-fungsi supaya dapat mengurangkan kejadian banjir kilat dan menggunakan teknologi automasi dalam sistem kutipan sisa di PBT.

- Selangor pusat pembangunan bakat sukan utama di Malaysia dengan memperkasa Akademi Merah Kuning bagi melahirkan bakat terbaik bidang bola sepak. Aspirasi Kita Selangor dengan sasaran tiga serangkai iaitu pasukan Merah Kuning menjadi juara Piala Malaysia, Sukan Malaysia (SUKMA) dan Liga Super menjelang tahun 2025 dan Piala Asia pada tahun 2027.

- Mengusahakan Liga e-Sports Kita Selangor, mengiktiraf pemain e-sports sebagai atlet sukan dan mengusahakan pengembangan industri e-sports sebagai peluang teknologi dan ekonomi baharu serta membina Pusat E-Sukan Kita Selangor di setiap daerah di Selangor.

- Memperuntukkan RM100 juta untuk meningkatkan kualiti dan fasiliti jalan di kawasan luar bandar.

- Mewujudkan 5,000 pusat pengecasan berkuasa tinggi untuk kenderaan elektrik di kawasan awam dan mengimplementasikan lorong hijau untuk menyelaraskan pemasangan stesen pengecasan di kawasan perumahan.

- Mewujudkan Perumahan Penjawat Awam Kita Selangor khusus buat para penjawat awam Selangor dengan permulaan 10,000 unit.

Tekad 5: Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat dengan tawaran:

- Mengembangkan 46 program Iltizam Selangor Penyayang kepada sasaran 60 program dan meningkatkan usaha pemberdayaan rakyat.

- Mendaftar dan melatih pengasuh kanak-kanak dan menyediakan fasiliti penjagaan kanak-kanak di pejabat kerajaan negeri serta PBT dan menawarkan insentif penyediaan fasiliti penjagaan di tempat kerja sektor swasta

- Mewujudkan Insentif Wanita Kita Selangor dengan jumlah RM1,000 setahun kepada wanita bekerja bagi mengurangkan kos pengasuhan kanak-kanak.

- Meluaskan Program Saring Selangor dan Program Kesihatan Mental secara percuma melalui aplikasi SeLANGKAH.

- Mewujudkan Selangor yang lebih selamat untuk wanita dan kanak-kanak dengan meningkatkan penggunaan teknologi CCTV di kawasan awam.

- Memberikan Insentif Pertanian Kita Selangor RM1000 kepada petani dan pesawah termasuk benih, baja dan racun serangga lebih berkualiti bagi meningkatkan hasil penuaian.

- Mengambil alih pengurusan satu pangsapuri kos rendah di setiap daerah untuk memperbaiki kualiti dan fasiliti kemudahan awam.

- Menawarkan opsyen penukaran cukai petak dan utiliti air daripada kadar komersial kepada kadar kediaman bagi pemilikan rumah pertama.

- Menyediakan perkhidmatan Ambulans Selangor Penyayang percuma di setiap PBT.

- Pemberian Baucar Buku Kita Selangor berjumlah RM200 kepada mahasiswa anak Selangor di institut pengajian tinggi dan institut pengajian tinggi awam.

- Memperluaskan Program Roda Darul Ehsan (RIDE) kepada para pemandu e-hailing.

- Meningkatkan bayaran khairat kematian kepada RM1,000 untuk waris warga emas yang meninggal dunia.