Tidak gopoh laksana agenda reformasi - Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan tergopoh-gopoh dalam melaksanakan agenda reformasi yang telah dijanjikan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, pendekatan yang dilakukan oleh pentadbiran kini diambil daripada sejarah dunia yang lalu.

“Walaupun ada golongan elit liberal yang mengatakan kita perlahan dalam program reform, tetapi percayalah belajar daripada pengalaman lalu.

“Kalau kita gopoh, baik dalam soal pelaksanaan Islam atau agenda reformasi, kita akan ditolak rakyat. Pengalaman lalu, mesti mengajar kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Sabtu.

Sebelum ini, terhadap beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, aktivis dan pemerhati politik mendapat Kerajaan Perpaduan perlahan dalam melaksanakan janji reformasi yang pernah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).

Anwar yang juga Presiden parti itu turut menyentuh mengenai Revolusi Perancis yang berhadapan dengan masalah susulan wujud golongan menuntut perubahan segera.

Menurutnya, slogan ‘liberté, égalité, fraternité’ yang diperkenalkan sewaktu revolusi berkenaan begitu menarik.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, telah muncul kelompok elit Jacobin yang taasub dengan ideologi itu telah secara gopoh mengambil tindakan rakus untuk menterjemah cita-cita mereka dan mengetepikan masalah rakyat.

“Keghairahan dalam segelintir elit menuntut perubahan segera mengakibatkan Robispierre turut diguling dan dipancung.

“Malah terdapat kajian saya baca, memperlihatkan keadaan petani di Perancis lebih parah daripada sebelum revolusi. Ini bermakna 10 tahun selepas revolusi, nasib mereka (petani) jauh lebih parah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui bahawa kerajaan berhadapan kesukaran untuk mengekalkan kestabilan sewaktu ia baharu ditubuhkan.

Beliau berkata, walaupun ada yang sangsi terhadap keupayaan kerajaan bertahan, namun kesetiaan rakan-rakan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan jelas terbukti.

“Kini satu tahun berlalu. Dengan pengalaman kerajaan terumbang-ambing pada tahun-tahun kebelangan dan percubaan ‘tebuk atap’ berterusan.

“Mereka (rakan-rakan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan) menolak tegas segala percubaan Perikatan Nasional (PN) meruntuhkan kerajaan.

“Tumpuan utama kita adalah untuk memulihkan ekonomi melalui tatakelola yang baik dan dasar ekonomi meyakinkan,” katanya.