Kain tenun punca potong diperkenal semula selepas 80 tahun

Ahmad Basri menunjukkan kain tenun punca potong yang berusia lebih 200 tahun pada Karnival Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2023.
Ahmad Basri menunjukkan kain tenun punca potong yang berusia lebih 200 tahun pada Karnival Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2023.
A
A
A

PASIR MAS - Kain tenun punca potong Kelantan kini menjadi hak milik Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan selepas pupus lebih 80 tahun lalu.

Pengerusinya, Ahmad Basri Hashim berkata, pertubuhan itu sedang berusaha memperkenalkan semula kain tenun tradisional Kelantan apabila berjaya mewartakannya pada Oktober lalu.

Ahmad Basri yang lebih lima tahun melakukan kajian dan pencarian berkaitan kain berkenaan mendakwa, ia dipakai oleh Sultan Muhammad ke-V iaitu sekitar 1908 dan kemudian pupus dalam era 1940-an.

"Kita tidak mahu kain warisan ini terus pupus sehingga masyarakat Melayu mengambil alternatif memakai kain bercorak sama tetapi tidak asli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Karnival Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2023 di sini pada Sabtu.

Ahmad Basri yang lebih mesra dengan panggilan Achik memberitahu, corak asli kain tenun punca potong dipanggil petak beragi dan ikat limar.

Pelajar Ijazah Sarjana Rekaan Inovasi di Fakulti Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu turut mengeluarkan 300 kain itu untuk diagihkan secara percuma kepada kumpulan silat.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Basri (berdiri, lima dari kanan) bersama tetamu dan ahli kumpulan silat pada Karnival Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2023 pada Sabtu.
Ahmad Basri (berdiri, lima dari kanan) bersama tetamu dan ahli kumpulan silat pada Karnival Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2023 pada Sabtu.

Jelas beliau, ia bagi memperkenalkan semula kain berkenaan kepada masyarakat terutama generasi baharu.

"Kita juga mahu mendidik semula masyarakat Melayu cara memakai kain tenun ini," katanya.

Dalam pada itu katanya, kain tenun itu selesa dipakai kerana material lembut selain keistimewaannya 100 peratus buatan tangan.

Ahmad Basri turut berkongsi kelainan kain tenun punca potong ialah kepala kain berada di bahagian hujung kain tetapi kepala kain pelekat atau sarung berada di belakang.

Beliau turut memaklumkan kain ini pupus kerana pembuatannya sukar dan beberapa teknik perlu lebih teliti menyebabkan tidak ramai yang terlibat menenunnya.

Justeru, kata Ahmad Basri, harga kain itu yang sudah berusia kira-kira 200 tahun boleh mencecah sehingga RM3,000 sehelai kerana ketelitian dan kehalusan buatannya.

"Saya pula belum memikirkan harganya tetapi akan memastikan mampu milik kerana mahu berkongsi keistimewaannya," jelas beliau.