Ibu bapa empat beradik ditinggalkan belum dapat dikesan

Empat beradik bawah umur ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah selepas dipercayai dihalau dari rumah dalam kejadian pada Khamis. (Gambar kecil: Nor Tipah)
Empat beradik bawah umur ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah selepas dipercayai dihalau dari rumah dalam kejadian pada Khamis. (Gambar kecil: Nor Tipah)
A
A
A

TAIPING - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenal pasti ibu bapa dan keluarga empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah, Khamis lepas.

Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin berkata, maklumat awal berkaitan perkara itu sudah diperolehi, namun usaha mengesan keluarga kanak-kanak berkenaan masih dalam tindakan dengan bantuan polis.

"Masalah ini perlu dilihat secara terperinci, tidak boleh terburu-buru dan kita akan buat siasatan berdasarkan maklumat serta semakan yang merangkumi pelbagai aspek.

"Langkah ini untuk mengenal pasti keluarga dan mereka yang benar-benar bertanggungjawab menjaga kanak-kanak tersebut supaya nanti hak dan kepentingan mereka terjaga," katanya selepas merasmikan Karnival Hari Kanak-kanak Kebangsaan peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tinggi dekat Trong di sini pada Sabtu.

Nor Tipah (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Karnival Hari Kanak-kanak Kebangsaan peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tinggi dekat Trong, Taiping pada Sabtu.
Nor Tipah (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Karnival Hari Kanak-kanak Kebangsaan peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tinggi dekat Trong, Taiping pada Sabtu.

Beliau berkata, setakat ini empat beradik tersebut berada dalam keadaan baik dengan kesihatan yang stabil di bawah penjagaan sementara JKM.

Justeru pihaknya meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta kebajikan kanak-kanak berkenaan.

"Ada dakwaan mengatakan mereka ini tiada dokumen, itu kita akan semak sebab ada pelbagai spekulasi diberikan berkaitan kanak-kanak ini.

Artikel Berkaitan:

"JKM buat masa ini mengambil langkah kenal pasti dahulu maklumat berkaitan keluarga mereka, kita mohon kepada semua pihak yang menunjukkan keprihatinan terhadap kes ini untuk memberi ruang agensi terlibat menjalankan siasatan," katanya.

Sinar Harian melaporkan, empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah selepas mendakwa dihalau dari kediaman nenek di Bota.

Kejadian sekitar jam 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan.