Empat beradik ditinggalkan di pondok pengawal

Empat beradik bawah umur ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah selepas dipercayai dihalau dari rumah dalam kejadian pada Khamis.
Empat beradik bawah umur ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah selepas dipercayai dihalau dari rumah dalam kejadian pada Khamis.
A
A
A

PASIR SALAK - Empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah dekat Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 10.50 pagi itu membabitkan empat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah sekitar jam 5.39 petang.

Menurutnya, berdasarkan keterangan diberikan, adik-beradik malang itu ditinggalkan di kawasan itu oleh seorang wanita menaiki sebuah kereta jenis Toyota.

"Hasil pertanyaan ke atas kanak-kanak berusia 11 tahun, (dia mendakwa) mereka telah dihalau dari sebuah rumah dekat Bota sebelum dihantar ke kompleks berkenaan menaiki kereta bersama wanita tidak dikenali.

"Turut ditinggalkan bersama mereka satu bungkusan plastik yang hanya berisi susu dan lampin pakai buang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, adik-beradik berkenaan telah dibawa ke Rumah Perlindungan Gopeng bagi tujuan keselamatan dan siasatan.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan ibu bapa dan waris kanak-kanak tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hanif Dzulkifli di talian 012-6477452," katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut selaras dengan hasil siasatan dijalankan polis.

"Kes masih dalam siasatan, pada masa ini, kanak-kanak itu dirujuk ke hospital bagi tujuan pemeriksaan kesihatan," katanya.