Empat beradik kini dalam jagaan baik - Nancy

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan yang dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah (MDPT), Seri Iskandar, Perak semalam telah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mereka dibawa ke hospital oleh pegawai kementeriannya.

"Setelah dibawa ke hospital, pihak kementerian masih perlu mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk membawa kesemua kanak-kanak itu ke institusi di bawah kementerian.

"Mereka kini dalam jagaan baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita di sini hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang berkongsikan maklumat sekali gus membolehkan kementeriannya bertindak segera terhadap kes berkenaan.

Terdahulu, Bernama melaporkan empat beradik yang terdiri daripada dua lelaki berusia 11 dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan serta kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun ditemukan ditinggalkan di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima melalui Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah sekitar 5.39 petang.

Sementara itu, mengulas mengenai Tribunal Anti Gangguan Seksual, beliau berkata presiden, timbalan presiden serta 10 anggota tribunal berkenaan akan dilantik dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nancy, tribunal itu akan beroperasi sebelum Januari 2024.

Dalam ucaptama pada majlis pelancaran berkenaan, Nancy berkata, menangani keganasan terhadap wanita merupakan tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan tempat kerja adalah persekitaran yang selamat dengan tiada toleransi terhadap sebarang gangguan atau keganasan.

Beliau berkata, kementeriannya dalam peringkat akhir mengemas kini Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga yang menjadi rujukan dan panduan kepada agensi berkaitan bagi menyelaras dan mengendalikan kes berkenaan dengan berkesan. - Bernama