Pesara rugi RM166,000 terpedaya pulangan berlipat kali ganda

Seorang pesara kerugian RM166,000 selepas terjerat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda. - Gambar hiasan
Seorang pesara kerugian RM166,000 selepas terjerat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara kerugian RM166,000 selepas terjerat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penipuan daripada bekas pengurus kilang berusia 53 tahun.

Menurutnya, mangsa yang menetap di daerah ini terperdaya dengan pelaburan tidak wujud ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada awal November lalu.

"Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang membimbing ahli-ahlinya berkaitan pelaburan secara percuma .

“Mangsa dikatakan berminat dengan pelaburan tersebut dan telah menghubungi admin kumpulan itu seterusnya memuat naik satu aplikasi untuk pendaftaran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa seterusnya mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang simpanan miliknya sebanyak lapan kali ke enam akaun berbeza

Katanya, pemindahan wang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM110,000.

Artikel Berkaitan:

Yahaya
Yahaya

Yahaya menambah, mangsa mendapati platform saham itu mempamerkan nilai saham beserta keuntungan yang telah mencecah sehingga RM200,000.

"Mangsa berhasrat untuk mengeluarkan wang tersebut dari platform terbabit tetapi (dimaklumkan) kononnya ia telah disekat," katanya.

Berdasarkan laporan, Yahaya memberitahu, pada peringkat awal penglibatan dalam pelaburan terbabit, mangsa berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun, suspek meminta pesara itu membayar cukai sebanyak 20 peratus dengan jumlah RM56,000 dan mangsa membayarnya.

“Suspek meminta lagi bayaran cukai sebanyak 15 peratus tetapi mangsa enggan membayarnya kerana berasa ditipu.

“Mangsa segera membuat laporan polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Jangan percaya pada pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa yang singkat.

"Jangan masukkan wang ke akaun bank yang tiada kaitan dengan pelaburan dibuat," katanya.