Remaja antara ahli sindiket tipu pelaburan dalam talian ditahan

Yahaya
Yahaya
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Remaja berumur 17 tahun antara 20 individu dipercayai sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian berjaya ditumpaskan.

Kegiatan sekumpulan sindiket itu dikesan hasil daripada pemantauan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bertindak atas maklumat kegiatan 'calling centre'.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, susulan daripada itu serbuan di lakukan di sebuah premis di Genting Highlands, Bentong pada jam 6.30 petang pada 5 Oktober lalu.

"Kita menahan 20 individu terdiri daripada 15 warga tempatan manakala lima lagi warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial.

"Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 17 hingga 31 tahun ditangkap dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Singapura," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di bilik media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sebanyak 19 unit komputer riba, 69 unit telefon bimbit, masing-masing satu keping pasport dan kad akses berserta kunci.

Yahaya menambah, siasatan awal mendapati modus operandi bermula apabila sindiket berkenaan mencari mangsa secara rawak menggunakan aplikasi cari jodoh 'Coffee Meets Bagel Dating'.

"Setelah berkenalan sindiket akan menawarkan pelaburan tidak wujud untuk memperdaya mangsa. Seterusnya mangsa diminta untuk memuat naik aplikasi pelaburan di pautan diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, untuk urusan selanjutnya ia di uruskan oleh sindiket lain," katanya.

Menjawab pengoperasian sindiket ini, Yayaha memaklumkan ia dipercayai telah beroperasi kira-kira tiga bulan, bermula dari 3 Ogos lalu.

Jelasnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati segelintir suspek memiliki beberapa rekod jenayah dalam kes penipuan dan dadah.

"Kesemua mereka direman sehingga 12 Oktober depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, pihak polis mengalu-alukannya sebarang maklumat daripada orang ramai berkaitan dengan aktiviti 'calling centre'.

Tegas Yahaya, sebarang aktiviti mencurigakan, orang ramai perlu menyalurkan maklumat terus ke bilik gerakan polis Pahang atau mana-mana balai polis berdekatan.