Kerajaan komited perangi ancaman siber - Anwar

Kerajaan amat menitikberatkan isu-isu ancaman keselamatan siber, terutamanya berkaitan ketirisan maklumat, jenayah siber, kerentanan teknologi dan hacktivism. - Gambar hiasan.
Kerajaan amat menitikberatkan isu-isu ancaman keselamatan siber, terutamanya berkaitan ketirisan maklumat, jenayah siber, kerentanan teknologi dan hacktivism. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan amat menitikberatkan isu-isu ancaman keselamatan siber, terutamanya berkaitan ketirisan maklumat, jenayah siber, kerentanan teknologi dan hacktivism.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ancaman ini telah menggugat kesejahteraan individu, kestabilan infrastruktur kritikal negara dan perniagaan, merosakkan reputasi organisasi, serta menyebabkan kerugian wang ringgit, yang secara tidak langsung mengesankan ekonomi negara, dan tahap kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, penjenayah siber sentiasa berusaha mencari ruang mengeksploit setiap kelemahan sistem, aplikasi atau teknologi, untuk mencapai kepentingan dan memperoleh keuntungan dan menurutnya sehingga Oktober lepas, 2,674 insiden siber telah dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4), NACSA.

"Aktivti-aktiviti seperti Ransomware dan Advanced Persistent Threats (APT) menjadi ancaman serius, terutama dari pihak-pihak yang mungkin mempunyai agenda yang bersifat geopolitik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas merasmikan program Pembangunan Kapasiti dan Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber di Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam dan Alam Melayu di Jalan Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin Bukit Tunku, di sini.

Anwar berkata, penggunaan peranti dan teknologi digital yang semakin meluas juga telah meningkatkan risiko serangan siber yang semakin dinamik dan kompleks, seperti phishing dan Distribution of Denial-of- Service (DDoS) Attack.

"Di peringkat global, pada tahun 2021, Suruhanjaya Eropah melaporkan terdapat 9.75 juta serangan DDoS berlaku di seluruh dunia.

"Tidak hanya itu, dalam setiap jangka masa 11 saat terdapat sebuah organisasi akan menghadapi serangan Ransomware. Ini mencerminkan cabaran ancaman siber masa kini yang semakin rencam dan meningkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kajian oleh Suruhanjaya Eropah juga menyatakan bahawa 57 peratus Perusahaan Kecil dan Serderhana (PKS) akan gulung tikar jika menghadapi serangan siber manakala di Jerman pula, kos berkaitan serangan siber terhadap perniagaan pada 2020 dianggarkan 220 billion Euro.

Katanya konflik di Ukraine juga menunjukkan keberkesanan serangan siber dalam mencapai objektif ketenteraan, dan alam siber kini menjadi medan perang yang ampuh, terutamanya dalam era peperangan hibrid saat ini.

Beliau berkata, bagi menambah baik pengurusan keselamatan siber negara, Kerajaan telah melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS) 2020-2024.

Katanya, strategi ini menggariskan secara komprehensif lima tonggak utama dengan 12 strategi dan 35 pelan tindakan untuk dilaksanakan, bagi mewujudkan persekitaran siber yang selamat, terpercaya dan berdaya tahan, di samping merangsang kemakmuran ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Strategi ini turut melibatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif keselamatan siber, termasuklah pembentukan Rang Undang-undang Keselamatan Siber, dan pembangunan kapasiti dan keupayaan tenaga mahir bidang siber, serta pengukuhan kerjasama awam-swasta, dan hubungan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri juga berkata, kerajaan meletakkan komitmen yang tinggi dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai pemacu pembangunan negara.

Anwar berkata dalam melonjak negara ke arah kemajuan ekonomi digital, tantangan utama yang perlu didepani saat ini pastinya jenayah siber, dan ancaman kepada keselamatan siber.

"Ruang maya merupakan domain baharu keselamatan dan geopolitik negara. Pelaku negara dan bukan negara (state and non-state actors), menggunakan pelbagai mekanisme untuk melemahkan keselamatan negara, tanpa perlu menyerang secara fizikal, dan hanya melalui serangan maya,” katanya. - Bernama