PRK Kemaman: PPS akan jadi pusat mengundi jika banjir

Mazli (dua dari kanan) meninjau anggota polis menunaikan tanggungjawab mengundi pos bagi PRK Parlimen Kemaman ketika tinjauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, pada Jumaat. - Foto Bernama
Mazli (dua dari kanan) meninjau anggota polis menunaikan tanggungjawab mengundi pos bagi PRK Parlimen Kemaman ketika tinjauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A
CHUKAI - Pusat pemindahan sementara (PPS) akan dijadikan sebagai pusat mengundi sekiranya berlaku banjir semasa hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya telah bersedia dengan kekuatan anggota serta aset untuk memastikan perjalanan hari pengundian berjalan dengan lancar.

"Kita tengok sekiranya masa mengundi banjir kita telah bersetuju dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) supaya ada PPS yang akan dijadikan tempat mengundi dan kita telah atur tenaga kerja dan aset untuk pastikan perjalanan mengundi di PPS terpilih berjalan lancar.

"Di Kemaman dijangka banjir tetapi belum lagi, namun kita harap semasa mengundi nanti tak banjir dan kalau banjir kita dah bersedia dan susun strategi,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.



Terdahulu, beliau meninjau proses pengundian secara pos oleh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia serta anggota tentera di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman hari ini.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakil Barisan Nasional (BN) berdepan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Mengenai proses pengundian hari ini, Mazli berkata, ia melibatkan 342 anggota PDRM dan tiga tentera yang melaksanakan tanggungjawab mereka di dua lokasi melibatkan IPD Kemaman dan Balai Polis Pasir Gajah.

"Alhamdulillah hari ini berjalan lancar, PDRM ambil pendekatan mendaftarkan semua pengundi warga PDRM di Kemaman ini untuk undi pos ... ini kerana kalau warga PDRM ini mengundi awal (pada 28 November) dah banjir, kita akan menghadapi kesukaran menjalankan tugas menyelamat mangsa banjir,” katanya.

Mazli berkata baki tiga lagi pengundi awal yang merupakan pasangan tentera akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada 28 November di Balai Polis Kijal.

Ditanya berhubung laporan polis sepanjang kempen PRK Kemaman, Mazli berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan sepanjang seminggu kempen berlangsung yang membuktikan kedua-dua parti bertanding mematuhi segala peraturan dan undang-undang. - Bernama
Artikel Berkaitan: