PRK Kemaman: Pas jangka raih 80 peratus sokongan anak muda

Mohd Harun ketika ditemui media selepas Ceramah Berkelompok UDM Mak Chili dekat sini pada malam Khamis.
Mohd Harun ketika ditemui media selepas Ceramah Berkelompok UDM Mak Chili dekat sini pada malam Khamis.
A
A
A

KEMAMAN - Pas menjangkakan parti itu akan menerima sokongan hampir 80 peratus daripada pengundi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang diadakan pada 2 Disember ini.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, gelombang sokongan kepada parti berkenaan semakin meningkat berikutan beberapa isu melanda sebelum ini, termasuk kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).

"Gelombang sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Kemudian ia semakin besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana mereka merasakan ditipu pada PRU sebelum ini iaitu kerjasama antara UMNO dengan PH.

"Kali ini saya jangkakan akan lebih besar lagi sokongan anak muda kepada Pas, antaranya disebabkan mereka terpaksa hadapi pelbagai pilihan raya selain petisyen yang berlaku itu seolah telah memberi kesusahan pada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Ceramah Berkelompok UDM Mak Chili dekat sini pada malam Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Harun berkata, pihaknya melakukan pelbagai pendekatan terutamanya kempen di media sosial bagi menarik sokongan anak muda kepada Pas.

"Dalam bentuk kempen di media sosial sememangnya kita cuba menarik sehabis mungkin anak muda dengan isu-isu yang ada ketika ini.

"Selain itu memberitahu kepada anak muda mengenai bantuan diberikan kepada kerajaan negeri selain menjelaskan kepada mereka isu berkait petisyen PRK Kemaman sebelum ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon BN iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.