'Mungkin Hadi rasa terancam' - Anthony Loke

Anthony (kanan) semasa berjumpa dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Lok Khoon, Kemasik pada malam Khamis.
Anthony (kanan) semasa berjumpa dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Lok Khoon, Kemasik pada malam Khamis.
A
A
A

KEMAMAN - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat berasa terancam apabila melabelkan pengundi warga emas yang menyokong Barisan Nasional (BN) sebagai tidak faham politik.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Pas tahu BN mempunyai penyokong tegar yang sukar ditembusi.

"Pengundi yang biasa duduk di kawasan ini (Kemaman) lebih tegar kepada BN. Kalau buat kenyataan seperti itu, mungkin mereka berasa terancam daripada segi peluang kemenangan.

"Tapi, saya rasa pengundi muda juga tak tentu lagi akan menyokong calon Pas. Banyak faktor yang diberikan pertimbangan dan melihat kepada kestabilan politik hari ini.

"Apa yang penting adalah PRK ini tidak mengubah kerajaan. Ia hanya memilih seorang ahli Parlimen dan Kerajaan Persekutuan sudah stabil," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas berjumpa dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lok Khoon, Kemasik pada malam Khamis.

Dalam ceramah di Kijal pada malam Rabu, Hadi turut menyifatkan golongan pengundi warga emas itu didapati masih tidak mahu menyokong Pas berbanding pengundi muda dalam pilihan raya sebelum ini.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun meminta jentera Pas untuk terus memujuk mereka.

Tambah Anthony, dengan adanya ahli parlimen daripada kerajaan, sudah tentu ia akan membantu pembangunan di Kemaman.

Artikel Berkaitan:

"Terengganu tiada langsung parti lain, hanya dikuasai pihak Pas. Jadi, di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sama sahaja.

"Dalam mana-mana demokrasi, ia tidak sihat bila tiada langsung persaingan. Saya mengharapkan pengundi Kemaman menyokong calon Kerajaan Perpaduan supaya di Kemaman ini, dapat memberikan satu kelainan daripada yang lain.

"Ia juga memberikan persaingan dan tekanan kepada kerajaan negeri dengan adanya kemenangan bagi Kerajaan Perpaduan di Kemaman ini," jelasnya.