BN tetap cakna pengundi muda, tua - Raja Mohamed Affandi

Raja Mohamed Affandi mendengar masalah yang dihadapi penduduk Kemaman.
Raja Mohamed Affandi mendengar masalah yang dihadapi penduduk Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Setiap undi tidak mengira golongan muda atau tua amat penting bagi memenangkan parti yang bertanding dalam pilihan raya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya tetap cakna dan mendekati kedua golongan tersebut kerana undi daripada mereka menentukan wakil rakyat yang akan dipilih nanti.

"Setiap undi ini dikira tidak kira sama ada tua atau muda. Saya berpandangan ia sesuatu perkara yang mesti dan pasti.

"Kita ambil penekanan bahawa BN cakna terhadap pengundi muda dan tua. Mereka itulah beri kejayaan pada BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas aktiviti ramah mesra di sebuah kedai makan di Kijal dekat sini pada Khamis.

Pada Rabu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika berceramah di Dewan Sivik Kijal dilaporkan berkata, pihaknya tidak mengharapkan undi daripada pengundi warga emas kerana sokongan padu diberikan golongan muda diyakini sudah cukup untuk memenangkan parti itu dalam PRK Kemaman.

Abdul Hadi berkata, berdasarkan PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini, majoriti pengundi muda berusia 21 hingga 40 tahun menyokong parti itu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, sokongan tersebut masih gagal diperoleh daripada pengundi warga emas yang berada di saluran satu dan dua.

Artikel Berkaitan:

Raja Mohamed Affandi beramah mesra dengan penduduk Kemaman.
Raja Mohamed Affandi beramah mesra dengan penduduk Kemaman.

Mengulas lanjut, Raja Mohamed Affandi berkata, fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan pengundi BN kekal mengundi parti tersebut.

"Kita bukan hanya meraih sokongan daripada pihak lawan tetapi khususnya tarik sokongan pengundi kita (BN).

"Jadi saya menyeru pengundi UMNO dan BN harus kekal (sokongan) dan yakin bahawa kita akan peroleh kemenangan," jelasnya.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi menafikan berlaku budaya 'cah keting' dalam kalangan anggota parti pada PRK Kemaman.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menegaskan bahawa beliau diterima baik oleh semua anggota parti BN.

"Saya tak rasa 'keting' saya sakit. Tapi beginilah makin dekat (undi) makin banyak benda dan perkara macam-macam keluar.

"Dalam pemerhatian saya tidak berlaku malah saya bergerak bersama pemuda dan bahagian UMNO Kemaman pun ikuti saya. Jadi ia (cah keting) tidak wujud," ujarnya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.