Konflik syariah, sivil perlu dinoktahkan secara tuntas, konklusif - Mujahid

Mujahid.
Mujahid.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta supaya merujuk Bahagian Undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai rancangan penubuhan jawatankuasa meneliti konflik perundangan sivil dan syariah.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, hal ini kerana konflik sivil dan syariah yang berlaku perlu diselesaikan atau dinoktahkan secara tuntas dan konklusif.

Menurutnya, rujukan itu wajar dibuat bagi menyambung usaha sejak 2018 yang terbantut kerana kemelut 'Langkah Sheraton' pada Februari 2020.

“Kita tak perlu mencipta ‘roda baharu’ dalam menangani isu konflik perundangan sivil-syariah.

“Ia (rujukan) dapat membantu Kerajaan Madani mempercepatkan solusi dan akhirnya menutup kes seumpama ini secara tuntas serta konklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rancangan penubuhan jawatankuasa meneliti konflik perundangan Sivil dan Syara' di bawah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak menerangkan, jawatankuasa tersebut perlu memperincikan kaedah menutup kelompongan agar tidak timbul petisyen baharu mempertikaikan undang-undang syariah di negara ini.

Sebagai mantan Menteri Agama yang bertanggungjawab dalam isu ini, beliau turut berharap isu terbabit dinoktahkan agar tiada pihak mengeksploitasikannya untuk kepentingan politik sempit.

Artikel Berkaitan:

“Fokus Jawatankuasa Sivil dan Syara' adalah melihat pertembungan sivil-syariah secara struktural perundangan, menyeragamkan undang-undang jenayah syariah negeri yang berbeza-beza hukuman walaupun daripada perlakuan jenayah sama.

“Selain itu, ia turut memperkenalkan konsep rehabilitatif dalam perundangan syariah yang tidak diperuntukan sebelum ini.

"Satu libat urus menyeluruh semua pihak berkepentingan telah dirangka melalui garis masa ditetapkan,” katanya.