123 individu dakwa ditipu syarikat pengendali umrah, rugi RM1.3 juta

Hishamuddin (duduk, tiga kanan) bersama Musa (duduk, tiga dari kiri) bersama mangsa yang hadir pada sidang akhbar berkaitan penipuan pakej umrah pada Khamis. - Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hishamuddin (duduk, tiga kanan) bersama Musa (duduk, tiga dari kiri) bersama mangsa yang hadir pada sidang akhbar berkaitan penipuan pakej umrah pada Khamis. - Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menyiasat segera sebuah syarikat pengendali umrah susulan ratusan mangsa membuat aduan mendakwa ditipu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada 123 mangsa yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM1.3 juta.

"Kita mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengklasifikasikan siasatan terhadap syarikat tersebut sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain (ROA).

Hishamuddin
Hishamuddin

"Mangsa meluahkan kekecewaan apabila kes tersebut diserahkan kepada agensi lain untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, antara Mac hingga Oktober lalu, mangsa sudah membuat laporan polis tetapi mereka diminta merujuk kes kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Mangsa maklum MOTAC berkuasa untuk mengarahkan syarikat supaya mengembalikan wang bayaran dan membatalkan lesen syarikat pelancongan syarikat itu.

"Bagaimanapun, mangsa mahukan tindakan jenayah dikenakan ke atas syarikat berkenaan kerana perbuatan syarikat yang telah menipu dan memperdayakan mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hishamuddin berkata, mangsa sebelum ini telah membuat bayaran kepada syarikat tersebut dan menerima jadual penerbangan.

"Namun malangnya pada hari penerbangan, mereka dimaklumkan tidak dapat menunaikan umrah dengan pelbagai alasan.

"Kita mohon pihak polis menyiasat ke mana wang mangsa itu 'hilang' selepas pelbagai janji termasuk cek dan jadual penerbangan semula dibatalkan beberapa kali oleh syarikat itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa turut mengambil inisiatif dengan memfailkan kes berkenaan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) bagi mendapatkan pampasan.

"Bagaimanapun, difahamkan syarikat tersebut tidak menghiraukan arahan untuk membuat pembayaran walaupun menerima perintah 'award'.

"Mereka kata nak bayar pampasan, tetapi apabila sampai tarikh nak tunaikan cek, cek tersebut dibatalkan, buat penjadualan penerbangan semula, tetapi bila tiba tarikh nak terbang, tiada pun penerbangan disediakan," katanya.

Musa
Musa

Sementara itu, Presiden MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Ketua Polis Negara, apabila sesuatu laporan itu ada unsur jenayah, pihak polis perlu buka siasatan terus.

"ROA ni lain, kalau ada melibatkan lesen-lesen itu lain. Jadi pihak polis akan memberitahu kepada agensi yang mengeluarkan lesen untuk mengambil tindakan.

"Tetapi kalau didapati ada unsur jenayah, maka polis perlu siasat terus, tidak bolah ada ROA," jelasnya.

Che Roni
Che Roni

Dalam perkembangan sama, seorang guru, Che Roni Mat, 56, serta lapan ahli keluarganya rugi RM77,000 dengan syarikat pengendali umrah tersebut.

“Syarikat itu dilihat meyakinkan jadi kita mengambil pakej dengan mereka dengan harapan untuk menunaikan umrah pada 2019.

“Tetapi ketika itu negara dilanda Covid-19, syarikat beritahu penerbangan kami terpaksa ditangguh kepada 2022, mereka meminta kami membuat beberapa bayaran tambahan lain sehinggakan saya berasa musykil," katanya.