Program Jihad PPZ-MAIWP sumbang zakat RM500,000

Abdul Aziz (lima dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat dan penerima sumbangan zakat di IPGKBA di Kuala Lumpur pada Selasa.
Abdul Aziz (lima dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat dan penerima sumbangan zakat di IPGKBA di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Jihad Pendidikan Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menyumbang sebanyak RM500,000 sejak dilancarkan tahun lalu.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, objektif sebenar sumbangan dibuat adalah untuk mendedahkan kepada pelajar tentang kewajipan berzakat untuk dipraktikkan apabila sudah mempunyai pendapatan.

Menurutnya, antara universiti terlibat dengan program itu sebelum ini termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaysia Sabah (Kampus antarabangsa Labuan).

“Program ini pada masa yang sama ia juga dapat meningkatkan kesedaran berzakat dan meningkatkan kutipan zakat khususnya melalui potongan gaji zakat dalam kalangan warga pendidik.

“Saya berharap agar program ini menjadi satu wadah yang akan memupuk dan melahirkan lebih ramai generasi yang celik dan cakna akan kewajipan berzakat.

“Ia juga boleh menjadi manifestasi peranan semua sebagai penjamin kepada asnaf dan mereka yang memerlukan supaya bantuan dan keperluan sentiasa mencukupi demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Jihad Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah IPGKBA, Datin Dr Bushro Ali.

Artikel Berkaitan:

PPZ-MAIWP melalui dana pemegang wakalah turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada 200 pelajar asnaf berjumlah RM40,000, tajaan makanan kepada 100 pelajar asnaf bernilai RM42,000.

Ia turut meliputi sumbangan kepada gerobok rezeki IPGKBA sebanyak RM18,000 dan sumbangan kewangan RM3,000 kepada Surau Al-Ghazali IPGKBA dengan keseluruhan sumbangan bernilai RM103,000.

Mengulas lanjut mengenai jumlah terkini mereka yang sudah mendaftar menjadi Sahabat MAIWP, Abdul Aziz berkata, seramai 45,000 orang telah mendaftar menjadi sukarelawan.

“Sahabat ini tugasnya untuk membantu mencari asnaf dan mereka yang memerlukan untuk kita salurkan bantuan bagi mengurangkan beban,” katanya.