Bahasa Mandarin, Tamil dilindungi Perlembagaan - Mahkamah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis bersetuju bahawa penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular sebagai bahasa pengantar dilindungi Perkara 152(1)(b) mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan yang difailkan empat pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

Berdasarkan peruntukan Perkara 152(1), ia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

Ia termasuk dua syarat iaitu pertama, tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Ketika membaca keputusan penghakiman ringkas, Azizul Azmi berkata, panel hakim bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bahawa bukan peranan mahkamah untuk mengkaji semula dasar kerajaan.

Menurutnya, mahkamah berpendapat, sekolah vernakular atau jenis kebangsaan bukanlah pihak berkuasa awam mahupun berkanun.

“Oleh itu, sewajarnya penggunaan bahasa selain bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan adalah tidak bertentangan Perlembagaan,” katanya.

Selain itu, Azizul Azmi berkata, panel menimbangkan, peruntukan itu mempunyai kesan melestarikan penggunaan bahasa lain ketika pengisytiharan kemerdekaan, berdasarkan perkataan ‘memelihara dan meneruskan’.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, apabila suatu bahasa telah digunakan sebelum merdeka, tiada dalam peruntukan itu harus dibaca sebagai mengehadkan hak kerajaan untuk memelihara penggunaannya dan mengambil langkah untuk mengekalkannya (secara berterusan).

Katanya, tidak boleh dihujahkan bahawa penggubal Perlembagaan berhasrat supaya sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa pengantar, menyalahi undang-undang dan bertentangan syarat Perlembagaan.

“Jika ini berlaku, sekolah berkenaan akan ditutup, dimansuhkan atau ditukarkan apabila perlembagaan diterima pakai.

“Tidak dipertikaikan, sekolah yang menggunakan bahasa Tamil atau Mandarin sebagai bahasa pengantar sudah wujud sebelum merdeka dan Perlembagaan diterima pakai,” katanya.

Dalam penghakiman itu, panel berkenaan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan yang menyatakan sekolah vernakular adalah pihak berkuasa awam selepas membenarkan rayuan silang Dong Zong dan Jiao Zong.

Pada Disember 2019, lima NGO iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Isma memfailkan saman kepada 13 pihak antaranya Kerajaan Malaysia, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).

I-Guru pula menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 serta Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, maka ia perlu dibatalkan.

NGO-NGO itu mencabar keabsahan sekolah vernakular dan menyatakan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah dibenarkan mencelah dalam saman yang difailkan oleh I-Guru.

Pada 29 Disember 2021, Mohd Nazlan menolak saman GPMS, Mappim, Gapena dan Isma.

Mohd Nazlan memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman I-Guru.

Pada Disember 2021 dan Mei 2022, Mappim, Gapena, Isma dan I-Guru merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kota Bharu yang menolak saman mereka.

Bagaimanapun, hanya GPMS tidak memfailkan rayuan.

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mappim dan Gapena ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dalam tempoh 30 hari selepas dibenarkan mahkamah.

Pada prosiding itu, peguam, Khairul Azam Abdul Aziz berhujah mewakili Isma manakala Datuk Shaharuddin Ali bagi pihak I-Guru sementara Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin bagi pihak Menteri Pendidikan dan kerajaan.