Kerajaan pertahan hak sekolah vernakular - Anthony Loke

Anthony beramah mesra dengan masyarakat Cina di SJKC Lok Khoon, Kemasik pada Khamis malam.
Anthony beramah mesra dengan masyarakat Cina di SJKC Lok Khoon, Kemasik pada Khamis malam.
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan hak sekolah vernakular untuk menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penggunaannya tidak salah dan sah serta dijamin dalam Perlembagan Persekutuan.

Beliau turut menegaskan bahawa bahasa Cina atau Tamil adalah untuk semua rakyat dan bukannya untuk kaum tertentu sahaja.

"Sekolah Cina menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina tapi bahasa Melayu juga diajar sebagai bahasa kebangsaan. Jadi, tak ada masalah.

"Tapi, ada pihak yang mencabar kedudukan ini. Pendirian Kerajaan Perpaduan adalah, kita akan kekalkan dan pertahankan hak masing-masing. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain turut dipertahankan.

"Saya bangga dengan bahasa kebangsaan dan belajar Bahasa Melayu dari darjah satu sampai universiti. Saya juga cakap bahasa kebangsaan setiap hari, baik dalam Parlimen atau di mana-mana," katanya semasa menyampaikan ceramah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lok Khoon, Kemasik pada malam Khamis.

Anthony Loke
Anthony Loke

Mahkamah Rayuan pada Khamis menolak rayuan yang dikemukakan empat pertubuhan, memohon pengisytiharan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Empat pertubuhan itu ialah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan berkata, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan oleh itu penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Tambah Anthony, mereka bukan ingin melawan Bahasa Melayu tetapi menegaskan ia adalah kepelbagaian dan keunikan di Malaysia.

"Kita nak anak-anak boleh berbahasa Melayu, Cina dan Tamil, jadi 'multilingual'. Baru hebat di mata dunia.

"Saya difahamkan oleh cikgu tadi, sekolah ini (SJKC Lok Khoon) ada 80 pelajar, lebih separuh adalah orang Melayu.

"Bukan di sini sahaja, sampai kawasan saya di DUN Chennah, ada lebih separuh pelajar SJKC adalah Orang Asli. Kita tak kata sekolah Cina untuk orang Cina sahaja," jelasnya.