Ibu dalam pantang bersama bayi kembar redah banjir 800 meter

Nur Asyikin bersama dua bayi kembarnya yang terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh pada Rabu.
Nur Asyikin bersama dua bayi kembarnya yang terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh pada Rabu.
A
A
A

Rantau Panjang - Seorang ibu muda yang sedang berpantang di rumah ibunya di Kampung Gual Tok Deh terpaksa meredah banjir sejauh kira-kira 800 meter ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sini berikutan banjir pada Rabu.

Nur Asyikin Zakaria, 23, dibantu ibu, Noriah Setapa, 51, membawa tiga anaknya termasuk bayi pasangan kembar berusia 44 hari ke PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh.

Menurut Nur Asyikin, hujan lebat petang Rabu mengakibatkan ruang tamu rumah ibunya itu dinaiki air sedalam 0.3 meter kira-kira jam 6 petang manakala halaman rumah pula ditenggelami air setinggi 0.7 meter.

"Saya terpaksa meredah hujan bersama bayi, Muhammad Naufal Qalish Muhammad Fazra dan Muhammmad Nabil Qalish Muhammad Fazra serta anak sulung, Nia Qalesya yang berusia 15 bulan," katanya.

Suri rumah itu memberitahu, tidak sukar menjaga bayinya di PPS kerana tidak banyak ragam selain semua kemudahan disediakan urusetia di situ.

Bagaimanapun Nur Asyikin memberitahu, perlu membawa semua keperluan tiga anaknya itu kerana tidak pasti keadaan kediaman mereka selepas berpindah.

"Setiap tahun kami akan tinggal di PPS dalam tempoh dua minggu dan biasanya rumah ditenggelami air sebanyak tiga kali dalam setahun," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mek Yam
Mek Yam

Sementara itu, warga emas dari Kampung Bendang Perol, Mek Yam Hamat, 80, terpaksa berpindah pada jam 10 malam Rabu berikutan banjir di halaman sedalam lebih 0.5 dan ruang tamu juga dipenuhi air.

Mek Yam berpindah bersama anaknya, Mohd Yusof Setafa, 47, dengan berjalan sejauh kira-kira 500 meter ke jalan besar sebelum dibantu ke PPS SK Gual Tok Deh.

"Saya dimaklumkan air Sungai Golok juga sudah mencecah paras bahaya dan kami semua perlu berwaspada dan menjaga keselamatan," katanya.

Nur Asyikin dan Mek Yam antara 32 mangsa membabitkan tujuh keluarga yang berlindung di PPS itu sejak dibuka petang Rabu.