Banjir di Perak pulih, PPS terakhir di Kerian ditutup

Mangsa banjir meniti titi di halaman rumahnya berikutan banjir yang berlaku ketika tinjauan di Matang Pasir Changkat Lobak pada 11 November lalu. - Foto Bernama
Mangsa banjir meniti titi di halaman rumahnya berikutan banjir yang berlaku ketika tinjauan di Matang Pasir Changkat Lobak pada 11 November lalu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Banjir di Perak pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir beroperasi di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu di Kerian ditutup petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua 39 orang daripada 14 keluarga yang berlindung di PPS itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing apabila banjir surut.

"Kesemua mangsa merupakan penduduk yang terjejas dari Kampung Selekoh dan Kampung Beriai yang tinggal di PPS itu bermula 30 Oktober lepas," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Sebaik ditutup, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan proses sanitasi di semua PPS yang ditutup.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan masih terdapat jalan yang terjejas akibat bencana banjir termasuk di laluan FT 147 Jalan Selama, Kerian yang ditutup kepada semua kenderaan selepas kawasan itu dinaiki air dan orang ramai diarah menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Batang Padang, laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan dibuka satu lorong hanya kepada kenderaan ringan kerana pembaikan jalan utama perlu dilakukan segera berikutan keadaan bahu jalan yang runtuh.

"Laluan di FT 001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim dibuka satu lorong kepada semua kenderaan kerana Pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dibuat di lokasi akibat tanah runtuh.

"Di Hilir Perak, laluan di A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara dan pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif di laluan FT058," menurut JKR.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di KELANTAN, jumlah mangsa yang ditempatkan di kesemua enam PPS berkurang sedikit kepada 373 orang daripada 96 keluarga setakat 8.30 malam ini berbanding 376 orang daripada 97 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 312 mangsa banjir di jajahan Pasir Puteh berada di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu, SK Wakaf Raja, SK Sungai Petai dan Dewan Kompleks Kamil manakala di Bachok, sebanyak 61 mangsa ditempatkan di PPS SK Jelawat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.

Di TERENGGANU, keadaan sama turut berlaku apabila mangsa yang berada di PPS menurun daripada 4,773 orang pada 10 pagi tadi kepada 3,751 orang pada 8 malam ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, di daerah Kuala Nerus yang paling terjejas, sebanyak 1,633 mangsa daripada 436 keluarga masih ditempatkan di 15 PPS, manakala 1,087 mangsa daripada 322 keluarga berlindung di lima PPS di Kuala Terengganu.

Lima daerah di Terengganu masih terjejas akibat banjir yang bermula kelmarin dengan 32 PPS masih dibuka. - Foto Bernama
Lima daerah di Terengganu masih terjejas akibat banjir yang bermula kelmarin dengan 32 PPS masih dibuka. - Foto Bernama

Selain itu, di Marang sejumlah 732 mangsa daripada 315 keluarga berlindung di tujuh PPS sementara di Besut, 673 mangsa daripada 159 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Di Dungun pula, hanya 23 mangsa daripada lima keluarga masih berada di sebuah PPS iaitu di SK Tok Kah.

Dalam pada itu, paras air sungai di beberapa stesen yang sebelum ini berada pada tahap waspada, amaran dan bahaya juga sudah kembali ke paras normal.

Hanya dua stesen iaitu Sungai Nerus, Setiu di Kampung Bukit berada pada tahap waspada, manakala Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus merekodkan tahap bahaya apabila paras air mencecah 3.78 meter. - Bernama