Banjir di Kedah beransur pulih, 10 PPS ditutup

Keadaan sebuah kediaman selepas banjir di Kampung Iboi di Baling beberapa hari lalu. - Foto: APM
Keadaan sebuah kediaman selepas banjir di Kampung Iboi di Baling beberapa hari lalu. - Foto: APM
A
A
A

ALOR SETAR - Banjir di tiga daerah di Kedah beransur pulih apabila 10 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup dan 946 daripada 1,383 mangsa telah dibenarkan pulang setakat jam 8 malam pada Sabtu.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata, setakat ini hanya Kota Setar yang masih dilanda banjir dengan 437 mangsa lagi berada di tiga PPS di daerah tersebut.

Menurutnya, satu PPS telah ditutup di daerah Kubang Pasu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Malau pada jam 1 petang dan 53 mangsa dibenarkan pulang manakala tiga lagi PPS di daerah Pokok Sena turut ditutup pada jam 2.15 petang membabitkan PPS Surau Permatang Limau (15 mangsa), PPS Maahad Tarbiyah Derang (157 mangsa) dan PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau (313 mangsa).

"Empat PPS di daerah Baling juga ditutup sepenuhnya pada jam 6 petang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, SK Iboi, SK Kampung Keda dan Surau Annur," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Suhaimi berkata, 23 mangsa di SMK Jerai, SK Iboi (94 mangsa), SK Kampung Keda (80 mangsa) dan Surau Annur (261 mangsa) setakat pagi Sabtu juga telah dibenarkan pulang selepas banjir pulih dan cuaca dalam keadaan baik.

Tambahnya, dua lagi PPS turut ditutup di Kota Setar iaitu SMK Kepala Batas dan SK Titi Gajah apabila 108 mangsa telah dibenarkan pulang pada petang Sabtu.

Artikel Berkaitan: