Pendakwaan kes REE: Sanusi dakwa bermotifkan politik

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pendakwaan terhadap dua bekas pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan kes unsur nadir bumi (REE) di mahkamah pada Isnin bermotifkan politik.

Beliau turut kesal apabila namanya ditulis dalam kertas pertuduhan membabitkan bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Hilmi Abdul Wahab di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurutnya, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana beliau tiada kaitan dengan kes berkenaan.

“Dalam kertas pertuduhan itu diletakkan nama saya, sebab itu saya kata ini pendakwaan bermotifkan politik. Kenapa tulis nama saya? Saya tak ada sangkut paut.

“Sepatutnya hanya tulis bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, itu jawatan dia. Tetapi diletakkan nama saya selepas perkataan Menteri Besar Kedah, ia tak sepatutnya berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan Tahira Air Sdn Bhd bagi membangunkan Kedah Aerotropolis, di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sanusi berkata, nama beliau tidak sepatutnya ditulis dalam kertas pertuduhan terbabit kerana Mohamad Hilmi berkhidmat kepada Menteri Besar Kedah dan bukannya kepada beliau secara peribadi

“Dia bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, bukan kepada Muhammad Sanusi,” jelasnya lagi.

Pada Isnin, dua bekas pegawai kanan kerajaan negeri bawah pentadbiran Muhammad Sanusi, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman, 63, dan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, didakwa di mahkamah atas dakwaan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Sobri didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM4 juta membabitkan kegiatan perlombongan REE, Mei lalu.

Mohamad Hilmi pula didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000.

Dalam pada itu, Sanusi menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan kes pendakwaan tersebut yang baharu didakwa dan belum dijatuhkan hukuman sama ada bersalah atau sebaliknya.

Menurutnya, seseorang itu tidak boleh diputuskan bersalah selagi tidak disabitkan dengan kesalahan dan meminta semua pihak menunggu sehingga kes terbabit selesai dibicarakan.

“Jika keputusan mahkamah kelak mereka tidak bersalah, berdosa pula. Kes terbabit sebelum ini (seakan) dibicarakan di media (terbuka) dan ini satu hukuman yang berat kerana nak jawab tak boleh, tak boleh ulas sebab sudah didakwa, tetapi orang luar bercakap macam-macam, saya harap perkara ini diselesaikan di mahkamah,” ujarnya

Beliau berkata, pendakwaan ini membolehkan kedua-dua tertuduh diberikan ruang membela diri sebelum keputusan mahkamah.

“Saya ambil hikmah, mereka ada ruang bersihkan nama daripada segala persepsi dibangkitkan pihak yang menyerang sejak kecurian tahun 2022,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan projek REE di Kedah, katanya, kerajaan negeri bersedia pada bila-bila masa melaksanakan projek perintis untuk mengkaji dan melihat kesan aktiviti perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik selepas kerajaan membenarkan penerokaan mineral itu dalam negara.

Sanusi berkata, sebuah kompartmen telah dikenal pasti bagi tujuan itu dan akan dimulakan sebaik sahaja mendapat ‘lampu hijau’ daripada Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung.

“Kita akan mulakan kawasan itu sebagai perintis, hanya tunggu arahan untuk mulakan. Kita bersedia tawarkan keluasan kawasan yang diminta, yang mana keseluruhan kawasan itu sekitar 6,000 hektar,” ujarnya.