Tiada bom ditanam di sekolah di Selangor - Polis

Datuk Hussein Omar Khan
Datuk Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan berhubung e-mel palsu berkaitan ancaman bom yang didakwa ditanam di beberapa sekolah di negeri ini pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati pengirim e-mel terbabit telah menghantar ancaman bom ke beberapa buah sekolah di daerah Kajang, Petaling Jaya, Kuala Langat, Subang dan Shah Alam.

"Sejurus maklumat diterima, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor digerakkan untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Hasil siasatan kira-kira jam 1 petang bagaimanapun tidak menemukan sebarang bom seperti didakwa di beberapa buah sekolah yang dinyatakan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, e-mel berkenaan merupakan satu berita yang didapati sengaja mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

"Pihak sekolah dan ibu bapa dinasihatkan agar tidak panik sekiranya menerima e-mel berkaitan ancaman bom berkenaan.

"Sebaliknya langkah yang terbaik adalah dengan terus lapor kepada pihak polis bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat segera diambil," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) bagi mengenal pasti motif penghantaran e-mel berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis memberi jaminan keadaan di sekolah dan persekitaran seperti dakwaan dalam e-mel berkenaan adalah selamat.

"Keutamaan akan sentiasa diberikan dalam memastikan keselamatan pelajar dan ibu bapa tidak perlu khuatir akan keselamatan anak-anak mereka," katanya.

Hussein berkata,sebarang penyebaran berita palsu akan dikenakan tindakan tegas kerana boleh menggugat ketenteraman awam.

"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab dalam menyebar berita palsu sebegini di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Pada Selasa, beberapa sekolah antarabangsa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan menerima ancaman bom.